Feeds:
Posts
Comments

Utusan Malaysia: 19 Jan 2010

I like this article. The origin is from Utusan Malaysia dated 19 Jan 2010, but below article has some amendments by me 🙂

LIHAT gaya hidup anda hari ini. Adakah anda menjalani kehidupan dengan sebaiknya atau sebenarnya telah banyak mengabaikan kesihatan diri? Atau adakah anda terlalu menuruti tabiat buruk yang tidak sepatutnya anda ikuti?

Sebenarnya ramai daripada kita yang mengamalkan cara hidup yang memudaratkan kesihatan diri.

Tetapi bak kata orang perkara lepas jangan dikenang. Yang penting sekarang jangan biarkan tabiat buruk itu terus menguasi diri. Masih belum terlambat untuk melakukan perubahan.

Apa yang telah anda lakukan kepada tubuh badan anda boleh diubah dan tubuh sudah tentu akan memberi reaksi positif terhadap perubahan tersebut. Yang penting, perubahan segera perlulah dilakukan dan jangan tunggu lagi.

Untuk memulakan perubahan memang mengambil masa. Lazimnya otak memerlukan kira-kira 14 hingga 21 hari untuk tindak tanduk ulangan supaya ia betul-betul ‘meresap’ dalam diri sebagai amalan harian.

Apabila amalan tersebut sudah sebati dalam diri maka secara automatik ia akan menjadi satu tindak balas perlakuan normal pada individu tersebut.

Apa amalan baik yang boleh digunakan untuk menggantikan tabiat buruk itu?

Kadang-kadang kita lupa, nenek moyang kita banyak meninggalkan petua dan amalan yang cuku baik untuk tubuh badan.

Jika anda tidak percaya anda boleh mencubanya dan buktikan sendiri.

Petua 1: Makan sajian bersaiz kecil.
Amalan atau tabiat pertama yang perlu diberi perhatian ialah pastikan anda makan lima sajian bersaiz kecil setiap hari.

Masyarakat di Barat mengambil makanan sebanyak tiga kali sehari, tetapi sebenarnya adalah lebih baik untuk anda menikmati makanan sebanyak lima kali sehari. Tetapi mesti ingat, ia perlulah dalam kuantiti yang kecil sahaja.

Kenapa begitu? Kerana apabila anda kerap makan namun dalam kuantiti yang sedikit, anda akan kekal menyalurkan nutrien, tenaga, darah dan gula untuk keperluan tubuh sepanjang hari.

Makan dengan cara ini juga tidak membebankan sistem penghadaman dan sistem metabolisme. Ia sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung.

Petua 2: Gerakkan Tubuh.
Amalan kedua ialah menukar tabiat menaiki lif dengan menaiki tangga. Senaman setiap hari boleh menjadikan anda seorang yang sihat, menguatkan sistem imunisasi, otot dan menambah tenaga.

Jangan jadikan kerja yang padat sebagai alasan untuk anda tidak melakukan aktiviti fizikal. Cuba cari peluang untuk berjalan laju, berjoging atau mungkin juga menaiki basikal ke tempat kerja sekiranya tempat kerja dan kediaman tidak terlalu jauh.

Selepas solat Subuh boleh menyertai kumpulan tai chi di taman perumahan atau mungkin juga boleh mula mendaftar di mana-mana pusat gimnasium berhampiran. Mulakan sekarang dan anda pasti akan nampak kesannya.

Petua 3: Ketawa
Ketawa dan bergembiralah. Ketawa sebagai ubat memang telah diketahui kemujarabannya. Ketawa juga dapat meningkatkan sistem imunisasi badan dan menghasilkan sel semula jadi yang melindungi tubuh dari kesakitan dan penyakit kanser.

Apabila kita ketawa, hormon endorfin dihasilkan sekali gus memberikan satu perasaan tenang dan puas. Memang tidak dinafikan lagi mereka yang hidup dalam kegembiraan hidup lebih lama dan sihat daripada mereka yang sentiasa bersedih.

Petua 4: Minum air… air kosong yer!!
Pastikan minum lapan gelas air setiap hari. Air amat penting bagi memastikan tubuh berfungsi secara sihat. Para saintis juga bersetuju bahawa air yang bersih daripada pencemaran kimia dan toksik adalah baik untuk kesihatan dan umur yang panjang.

Jadi pilihlah air yang telah ditapis di mana proses penapisan yang terbaik ialah menerusi arang yang diaktifkan kerana ia mengasingkan benda asing tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kandungan mineral.

Perlu juga diingat, jangan menyimpan air di dalam bekas plastik kerana bahan yang terkandung dalam plastik tersebut yang disebut polychlorinated biphenyls (PCBs) boleh meresap ke dalam air.

Petua 5: Ibadah
Menambah amal ibadah bagi umat Islam dan bermeditasi bagi yang bukan Islam.

Memang tidak dinafikan tekanan boleh memendekkan usia seseorang. Dalam kehidupan kita yang serba moden hari ini memang tidak boleh lari daripada tekanan, tapi ia boleh dielakkan jika anda pandai mencari jalan mengelakkannya.

Beribadah atau bermeditasi adalah salah satu cara terbaik untuk melegakan tekanan dan menyegarkan anda semula. Menerusi ibadah dan meditasi anda akan dapat bernafas dengan baik.

Apabila pernafasan anda sempurna ia secara tidak langsung menyingkirkan sebanyak 70 peratus toksin dan benda kotor dalam tubuh anda.

Amalan tersebut juga menjadikan minda anda tenang, mengurangkan hormon tekanan dan mengajar tentang disiplin diri. Ini semua memang penting untuk memastikan kehidupan yang anda lalui sihat dan diberkati.

Contoh Senaman Mudah
Jika ada masa terluang boleh juga mencuba senaman ini. Duduk dengan selesa di atas kerusi empuk atau boleh juga bersila di atas lantai.

Pejam mata dan setiap kali masalah timbul di fikiran anda bayangkan masalah tersebut berada dalam sebiji belon. Bayangkan belon yang membawa masalah tersebut terbang tinggi di langit dan akhirnya hilang daripada pandangan.

Cuba ulang cara ini hingga anda tidak lagi memikirkan tentang masalah tersebut. Selepas beberapa ketika anda pasti akan berasa ringan dan fikiran anda akan lebih fokus.

Mungkin dengan mengamalkan lima amalan ini akan mengubah diri anda menjadi seorang yang lebih berkualiti di muka bumi ini. Cubalah dan jangan bertangguh untuk setiap perkara yang baik.

———-
Saya harap artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu anda, sebagaimana dia sentiasa menjadi peringatan untuk diri saya 🙂

Advertisements

Rencana dari Mingguan Malaysia: 3 Ogos 2008

OLEH NURUL ANUAR KARI

UBAT yang digunakan untuk menentang jangkitan bakteria dikenali sebagai antibiotik atau ubat antimikrobial. Bakteria dan virus pula merupakan dua punca utama jangkitan. Namun, rawatan menggunakan antibiotik hanyalah untuk jangkitan bakteria memandangkan antibiotik tidak memberi kesan terhadap virus yang menjadi punca demam selesema, selesema (flu) dan kebanyakan masalah sakit tekak.

Pengenalan antibiotik penisilin sekitar 1940-an mengubah dunia perubatan manusia dan berjaya menyelamatkan ramai pesakit dan mengurangkan komplikasi serius jangkitan yang membahayakan nyawa. Bagaimanapun, dalam tempoh yang singkat sahaja selepas antibiotik diperkenalkan, bakteria mula membentuk ketahanan terhadapnya. Ini menyebabkan rawatan menggunakan antibiotik yang sama tidak berkesan seperti sebelumnya.

Masalah rintangan (ketahanan) antibiotik ini berterusan sehingga kini, bukan sahaja terhadap penisilin malahan terhadap antibiotik generasi baru yang lebih kuat. Masalah rintangan antibiotik juga diperakui sebagai antara masalah utama dunia perubatan kini sehingga pertubuhan seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Perikatan Penggunaan Antibiotik dengan Bijak (APUA) mengambil langkah awal menerangkan masalah rintangan antibiotik kepada pakar perubatan dan juga orang ramai.

Usaha sejagat perlu ditingkatkan dalam memastikan penggunaan antibiotik sewajarnya, dengan memastikan terapi antibiotik hanya untuk jangkitan bakteria, penggunaan mengikut bentuk jangkitan dan menegaskan kepada pesakit pentingnya mengikuti panduan terapi antibiotik seperti yang diarahkan doktor.

Adaptasi ketahanan

Bakteria dapat membentuk ketahanan atau daya rintangan terhadap antibiotik melalui beberapa cara, semuanya melibatkan perubahan genetik. Gen (asas genetik) bakteria mungkin berubah melalui mutasi secara rawak atau pertukaran gen dengan mikroorganisma lain. Gen yang berubah ini membolehkan bakteria tersebut sama ada memusnahkan struktur kimia antibiotik atau menghalang kesan antibiotik terhadap pembiakan bakteria tersebut.

Hukum alam memilih yang kuat untuk terus hidup dan ini mencadangkan lambat-laun semua bakteria akan membentuk rintangan terhadap antibiotik. Penyalahgunaan atau penggunaan antibiotik sama berulang kali merupakan dua punca utama peningkatan kejadian rintangan antibiotik. Dianggarkan sehingga 50 peratus preskripsi antibiotik kepada ahli masyarakat juga sebenarnya tidak diperlukan.

Faktor-faktor biasa yang menyumbang kepada preskripsi antibiotik yang tidak sesuai termasuk:

l pesakit meminta antibiotik (walaupun bukan dijangkiti bakteria)

l persepsi doktor yang menganggap pesakit mahukan antibiotik (walaupun tidak diperlukan)

l masa terhad untuk mengesahkan diagnosis yang tepat atau masa untuk menjelaskan kepada pesakit mengapa mereka tidak memerlukan antibiotik

l doktor khuatir tersalah diagnosis jangkitan bakteria sebagai jangkitan virus

Pesakit juga menyumbang kepada pembentukan rintangan antibiotik dengan meminta antibiotik sedangkan mereka dijangkiti virus atau fungus dan bukannya jangkitan bakteria. Selain itu, dengan tidak mematuhi panduan pengambilan antibiotik, mereka turut menyebabkan perkembangan spesies bakteria dengan ketahanan terhadap antibiotik berkenaan. Masalah tidak mengikut arahan pengambilan antibiotik ini merupakan sesuatu yang biasa di kalangan pesakit yang menghidap jangkitan salur pernafasan.

Ada di kalangan pesakit yang mengambil ubat mengikut kelapangan dan ada juga terus berhenti dan tidak menghabiskan antibiotik yang diberikan atas alasan sudah berasa semakin sihat. Hanya pengambilan kesemua dos antibiotik yang diberikan, mengikut masa ditetapkan akan membunuh kesemua bakteria yang menjangkiti pesakit. Jika pesakit ‘melangkah’ masa yang ditetapkan atau tidak menghabiskan semua dos antibiotik yang diberikan, berkemungkinan akan menyebabkan jangkitan berulang yang lebih teruk.

Ini kerana sebahagian antibiotik yang diambil pada awalnya telah membunuh semua bakteria yang lemah tetapi gagal membunuh bakteria yang lebih ‘tegar’. Kumpulan bakteria yang lebih kuat ini akan membiak semula, mengisi kekosongan yang ditinggalkan bakteria yang telah dibunuh antibiotik, menyebabkan pesakit lebih sukar dirawat, serta memerlukan jumlah ubat yang lebih banyak dan masa lebih lama untuk pulih.

Masalah dos

Profesor Perubatan Respiratori Institut Penyakit Respiratori Universiti Milan, Itali, Profesor Dr. Francesco Blasi menjelaskan masalah dalam terapi antibiotik adalah ia perlu diambil untuk satu tempoh tertentu.

“Antibiotik yang diberikan dalam dos yang rendah perlu diambil untuk satu tempoh yang agak panjang. Risiko rintangan antibiotik meningkat jika pesakit melangkah salah satu dos berkenaan.

“Tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu dos antibiotik menjadi punca utama pembentukan ketahanan terhadap antibiotik,” katanya.

Menurut beliau, pesakit wajib mengambil antibiotik seperti yang diarahkan, tetapi jika bilangan dos dan tempoh antibiotik perlu diambil dapat dikurangkan, kadar pematuhan arahan pengambilan antibiotik pasti lebih tinggi.

Bilangan dos yang perlu diambil dalam satu hari dan bilangan jenis (ubat berbeza) yang perlu diambil dalam satu hari juga menjadi penentu utama pematuhan arahan pengambilan antibiotik. Apa juga jenis ubat, tempoh pengambilan ubat yang lebih pendek akan menunjukkan tahap pematuhan arahan lebih baik di kalangan pesakit.

Dr. Blasi menjelaskan masalah pematuhan tidak timbul di hospital memandangkan doktor dan jururawat memantau pengambilan ubat oleh pesakit.

Pesakit luar

“Masalah utama adalah di kalangan pesakit luar yang diberikan ubat (antibiotik) dan diarahkan mengambilnya mengikut jumlah dan masa tertentu.

“Masalah serupa dapat dilihat di kalangan pesakit diabetes dan kolesterol tinggi. Tahap tertinggi pematuhan arahan pengambilan ubat tertinggi untuk bulan pertama, tetapi kemudian mula menurun dan menjelang bulan ketiga ada yang telah berhenti mengambil ubat sepenuhnya,” ujarnya.

Menurutnya, tahap pematuhan mungkin tinggi selepas lima hari jika perlu mengambil satu ubat setiap hari tetapi untuk pengambil ubat tiga kali sehari, terdapat kemungkinan pesakit telah berhenti mengambil ubat sebelum hari kelima lagi. Ini amat membimbangkan terutamanya dalam pematuhan pengambilan antibiotik.

Namun, beliau menyatakan tahap pematuhan pengambilan ubat juga mungkin lebih tinggi jika pesakit memikirkan penyakit yang dihadapi amat berbahaya.

Dr. Blasi turut menegaskan penggunaan antibiotik dalam dos yang rendah dan dalam tempoh berpanjangan merupakan ‘cara terbaik’ untuk membentuk rintangan antibiotik.

Terapi dos tunggal

Dr. Blasi menjelaskan tahap kepekatan merencatkan minimum (MIC) menentukan keberkesanan antibiotik membunuh bakteria.

“MIC adalah kepekatan minimum di mana bakteria dihalang daripada membiak dan dapat dibunuh dengan mudah. Kepekatan antibiotik dalam badan pesakit perlu berada di atas garis MIC bakteria untuk terus berkesan.

“Jika pesakit meninggalkan satu dos dan kepekatan antibiotik jatuh di bawah garis MIC, bakteria kuat yang masih hidup akan kembali membiak,” katanya.

Menurutnya, bakteria baik di dalam mulut (oral flora) juga berkemungkinan membentuk ketahanan terhadap antibiotik jika pesakit melangkah dos yang ditetapkan.

Oleh itu, tegasnya, kepekatan antibiotik perlu berada di atas garis MIC sebanyak dan selama mungkin, iaitu dengan pengambilan dos antibiotik mengikut arahan doktor.

Pemilihan antibiotik untuk rawatan juga bergantung kepada beberapa faktor seperti kepekatan yang berkesan, separuh hayat antibiotik, kesan terhadap spesies bakteria sasaran dan kesan kepada spesies bakteria lain, termasuk bakteria baik (normal flora).

Dr. Blasi menyatakan antibiotik yang bergantung kepada tahap kepekatan (untuk berkesan) memerlukan tahap kepekatan paling tinggi pada hari pertama rawatan.

“Kesan dos tinggi ini terbaik dalam beberapa jam pertama, dan dalam dos yang tepat, antibiotik tersebut boleh membunuh semua bakteria berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga kesan selepas penggunaan antibiotik tersebut di mana bakteria yang masih hidup tidak dapat membiak (bilangan tidak bertambah) dan memudahkan sel-sel sistem imuniti badan membunuh baki bakteria yang tinggal,” jelasnya.

Menurut beliau, dalam perbandingan rawatan tempoh panjang (dos rendah) dan rawatan tempoh pendek (dos tinggi), kajian menunjukkan rawatan jangka pendek adalah yang terbaik dalam merawat jangkitan bakteria.

Tambahnya, satu lagi kebaikan tempoh rawatan jangka pendek adalah mengurangkan pendedahan antibiotik kepada normal flora badan, mengelakkan berlakunya ‘pemberontakan’ bakteria baik yang membentuk rintangan antibiotik.

Formulasi baru Azithromycin

Dr. Blasi menyatakan formulasi terbaru antibiotik Azithromycin kini diberikan dalam dos tinggi tunggal yang didapati lebih berkesan berbanding dos lebih rendah yang perlu diambil untuk beberapa hari.

“Formulasi baru ini menumpukan kepada kepekatan antibiotik tertinggi dalam beberapa jam awal jangkitan bakteria, iaitu kepekatan tertinggi untuk kemuncak jangkitan.

“Kepekatan lebih tinggi ini juga tidak bermakna kepekatan berpuluh kali ganda daripada sebelumnya,” ujarnya.

Menurutnya, berbanding menggunakan kepekatan 1.5 gram selama tiga hari, formulasi baru ini menggunakan kepekatan dua gram dan hanya perlu diambil sekali.

Selain itu, Dr. Blasi memaklumkan kesan formulasi ini juga ditingkatkan keupayaan sel-sel imuniti badan (neutrofil, makrofaj) bertindak sebagai ‘teksi’ atau pengangkut antibiotik tersebut terus ke tapak jangkitan.

“Sel-sel imuniti badan dapat menyerap antibiotik tersebut dan membawanya bersama ke tapak jangkitan ketika tindak balas imuniti sel-sel berkenaan menentang jangkitan.

“Peningkatan kepekatan juga didapati meningkatkan kadar penyerapan antibiotik oleh sel-sel imuniti berkenaan,” jelasnya.

Menurut beliau, antibiotik yang diserap itu akan dibebaskan sebaik sahaja sel-sel imuniti bertembung dengan bakteria yang menyerang.

Bagaimanapun, bukan semua jenis antibiotik dapat diberikan dalam dos tunggal.

Dr. Blasi menjelaskan, Azithromycin dapat diberikan dalam dos tunggal berikutan separuh hayatnya adalah 50 jam, yang bermakna kepekatannya hanya akan berkurangan menjadi separuh selepas 50 jam.

“Jangka separuh hayat antibiotik ini juga dijangka lebih tinggi di dalam badan (tahan lebih lama) di samping keupayaannya untuk kekal di dalam tisu badan untuk tempoh tertentu.

“Dengan itu, walaupun hanya diberikan satu dos pekat, antibiotik ini dapat kekal di dalam badan sehingga tujuh hari, memberi kesan berpanjangan dalam menentang jangkitan bakteria,” katanya.

Dr. Blasi memaklumkan kepekatan Azithromycin juga paling tinggi pada hari pertama, membolehkannya bertindak di ketika kemuncak jangkitan.

Pada dasarnya, antibiotik ini serupa seperti dos yang digunakan sebelum ini, dari segi tahap keselamatan dan juga kesan sampingannya. Hanya cara penggunaannya berbeza di mana tahap kepekatannya di dalam badan juga akan menurun mengikut masa, seperti dos lama, tetapi hadir dalam kepekatan lebih tinggi pada hari pertama.

Menurut Dr. Blasi, terapi singkat ini digunakan untuk pesakit luar yang menghidap pneumonia, sinusitis atau sinusitis bakteria akut (jangkitan ringan sehingga sederhana sahaja).

Kombinasi

“Bagi kes pneumonia yang teruk, antibiotik lain atau kombinasi beberapa jenis antibiotik mungkin perlu digunakan.

“Pesakit dengan jangkitan teruk juga mungkin perlu dimasukkan ke wad, terutamanya jika melibatkan spesies bakteria yang sukar dirawat,” jelasnya.

Namun, beliau memaklumkan perlunya pemeriksaan semula diagnosis atau menukar bentuk rawatan jika pesakit tidak menunjukkan kemajuan selepas tiga hari.

Ini tambahnya sama bagi rawatan menggunakan mana-mana antibiotik, yang perlu ditukar jika didapati tidak berkesan kepada pesakit berkenaan.

Dr. Blasi bagaimanapun menegaskan penggunaan formulasi baru ini tetap terikat dengan beberapa faktor seperti epidemiologi jangkitan dan faktor risiko penggunaan formulasi berkenaan terhadap pesakit.

“Rawatan perlu khusus mengikut keperluan pesakit untuk mendapatkan kesan terbaik terhadap masalah jangkitan yang dihadapi. Perlu menggunakan ubat yang betul untuk pesakit yang betul.

“Antibiotik dos tunggal atau berkepekatan tinggi mungkin pendekatan terbaik untuk sesetengah kes tetapi ia bukan penyelesaian untuk semua kes jangkitan bakteria,” tegasnya.

Tambahnya, manfaat utama dos tunggal ini adalah dari segi pematuhan pengambilan antibiotik memandangkan pesakit hanya perlu mengambil satu dos sahaja.

Formulasi baru Azithromycin ini dilancarkan di Malaysia pada 20 Julai lalu tetapi dalam bentuk cecair sahaja. Ia juga boleh dicampurkan dengan air, terutamanya untuk kanak-kanak, tetapi lebih penting lagi tidak perlu lagi gusar tentang pengambilan dos ulangan.

Selain itu, penyerapan berperingkat formulasi baru ini turut tidak meninggalkan kesan yang tidak diingini terhadap normal flora usus, seterusnya mengurangkan kesan sampingan seperti cirit-birit terhadap pesakit. Pengambilan formulasi baru antibiotik ini tanpa makanan juga didapati banyak mengurangkan kesan sampingan cirit birit di kalangan pesakit.

Namun, tidak kira sama ada pengambilan antibiotik atau ubat-ubatan lain, doktor perlulah memberi panduan pengambilan ubat dengan tepat sementara pesakit pula perlu mematuhi arahan pengambilan ubat supaya dapat segera pulih sepenuhnya

Rencana dari Mingguan Malaysia: 4 Mei 2008

OLEH Prof. Madya Dr. Zaitun Yassin
(Persatuan Pemakanan Malaysia)

PADA hari-hari tertentu, anda mungkin terlalu sibuk dengan tugas dan komitmen peribadi hinggakan tidak ada masa untuk berhenti bernafas. Oleh sebab anda cuba melakukan sebanyak yang boleh, maka anda tidak menghiraukan soal makan. Sarapan hanyalah secawan kopi atau teh tarik. Anda tidak sempat makan tengah hari disebabkan oleh jadual yang terlalu padat dan teman makan malam anda hanyalah sebungkus kentang goreng yang ditelan dengan gopoh-gapah di pejabat.

Jika anda sering menghadapi hari-hari begini, bermakna anda tidak dapat mengamalkan tabiat makan yang sihat. Usah bimbang. Ikuti petua mudah berikut untuk mencari masa makan dan mengetahui apa yang patut dimakan bagi mendapatkan nutrien dan tenaga secukupnya bagi membolehkan anda sentiasa cerdas dan dapat memberi tumpuan sepanjang hari.

Cergaskan hari anda dengan sarapan

Sarapan bukan sahaja penting untuk mencergaskan permulaan hari anda dan memberi tenaga yang cukup untuk kekal aktif sepanjang hari, tetapi juga telah terbukti secara saintifik dapat membaiki daya tumpuan, kecerdasan dan fungsi ingatan. Untuk meningkatkan metabolisme anda, amalkan diet yang seimbang dengan mengambil makanan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh dan makanan berprotein tinggi seperti susu dan keju. Kurangkan makanan berlemak seperti roti canai dan nasi lemak kerana makanan seperti ini boleh membuat anda berasa kembung dan lesu.

Jika anda selalu tidak mengambil sarapan dan menggantikannya dengan makan tengah hari yang berat, berikut adalah beberapa cara meluangkan masa untuk mengambil sarapan yang sihat di rumah:

– Cuba bangun awal supaya ada masa untuk makan dan menikmati sarapan.

– Siapkan sarapan pada malam sebelumnya jika anda rasa esoknya adalah hari yang terlalu sibuk dan akan kesuntukan masa.

Oh… Saya Terlambat Bangun Lagi!

Jika anda benar-benar tidak ada masa untuk menikmati sarapan yang sihat di rumah disebabkan terpaksa keluar awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas atau jika terlambat bangun, cuba petua berikut:

– Sediakan makanan seperti buah-buahan, roti/bun, keju atau telur rebus yang senang dicapai dan dimakan sambil berjalan. Untuk pemakanan yang lebih lengkap, cuba makan bijirin sambil minum susu.

– Beli makanan seperti pau kacang, kuih apam atau putu mayam dalam perjalanan ke tempat kerja.

– Simpan makanan di tempat kerja anda. Biskut tawar, buah-buahan kering, kacang atau energy bar adalah pilihan yang berkhasiat dan lazat.

Tambah tenaga dan pulih kecergasan dengan makan tengah hari

Menjelang waktu makan tengah hari, badan anda sudah menggunakan kebanyakan daripada nutrien dan tenaga daripada sarapan. Jadi, makan tengah hari memberi anda peluang menambah tenaga dan kecerdasan serta meningkatkan prestasi.

Petua berikut dapat membantu anda merasa segar semula dan bersedia untuk meneruskan kerja hingga ke petang!

– Elakkan makan sambil kerja, kerana anda mungkin makan lebih daripada yang diperlukan. Cuba makan pada waktu yang dikhaskan untuk makan tengah hari.

– Sentiasa pilih sajian ringan yang sihat dan jangan terlebih makan; berhenti bila rasa kenyang. Jika terlebih makan, anda akan berasa kembung dan mengantuk.

– Jika makan di luar dan memesan nasi campur atau mi, jangan lupa untuk tambah ikan atau daging tanpa lemak dan sayuran untuk memastikan pengambilan makanan yang lengkap dan seimbang. Makan sepotong buah-buahan sebagai pencuci mulut.

– Jika makan di pejabat dan hanya terdapat mi segera, cuba tambah sedikit sayuran atau telur. Untuk menambahkan khasiat, makan buah-buahan atau minum segelas jus buah- buahan 100 peratus atau minuman kacang soya/susu. Untuk menambah kalsium, tambah keju ke dalam sandwic atau roti bun.

Makan dalam perjalanan

Jika terpaksa ke mana-mana pada waktu makan tengah hari dan tidak ada masa untuk makan, jangan bimbang. Simpan snek di tempat kerja yang boleh dicapai dan dibawa bersama. Pilihan makanan dan snek yang sihat termasuk buah-buahan segar atau kering, bijirin serat tinggi, biskut tawar serat tinggi dan biskut (tanpa krim), sandwic roti gandum penuh, kacang dan yogurt. Jangan lupa bawa sebotol air minuman untuk mengekalkan penghidratan!

Akhirkan hari dengan makan malam yang dimasak di rumah

Selepas sibuk seharian, anda tentu rasa seronok bila dapat duduk makan dengan selesa di rumah kerana sajian makan malam memberi peluang kepada anda untuk memenuhi keperluan pemakanan harian. Tetapi apa yang boleh anda lakukan jika anda masih sibuk hingga ke malam? Anda boleh makan di luar atau beli makanan bungkus.

Namun, jika anda lebih suka makan malam yang dimasak di rumah, berikut adalah beberapa cara yang membolehkan anda mendapat apa yang anda ingini:

– Simpan nasi atau pasta sebagai makanan asas untuk penyedian sajian yang cepat. Jika anda mempunyai ramuan yang betul, anda boleh mencipta resipi anda sendiri untuk sajian yang berkhasiat!

– Bersihkan sayuran dan simpan dalam peti sejuk supaya ia sedia untuk dimasak. Atau jika anda benar-benar kesuntukan masa, anda boleh makan sayuran mentah seperti lobak merah dan saderi.

– Potong ikan, ayam dan daging dan bekukan dalam paket berasingan. Pindahkan ke dalam peti sejuk untuk dinyahbeku sebelum anda keluar bekerja.

– Aturkan penghantaran makanan ke rumah. Ia menjimatkan masa memasak dan amat baik jika anda tidak berminat ke dapur atau tidak pandai memasak! Pesan makanan daripada orang yang anda kenali dan percaya. Jangan takut untuk meminta makanan disediakan secara segar.

Seperkara penting yang mesti diingati ialah jangan sama sekali mengabaikan waktu makan. Anda mungkin sibuk, tetapi jangan jadikan ini sebagai alasan untuk tidak makan. Bila anda tidak makan, anda kekurangan nutrien dan tenaga yang diperlukan untuk melakukan tugas anda dengan berkesan. Jika anda tidak mengambil makanan yang berkhasiat secara tetap, anda tidak akan mempunyai tenaga untuk bekerja, belajar atau melakukan apa sahaja!

Kesihatan Mata Kanak-Kanak

Rencana dari Mingguan Malaysia: 20 April 2008

TAHUKAH anda bahawa 90 peratus daripada masalah mata adalah masalah gangguan fungsi penglihatan, manakala 10 peratus lagi adalah disebabkan oleh penyakit mata. Mengesan masalah gangguan fungsi penglihatan adalah cukup penting pada kanak-kanak kerana pada ketika inilah sistem penglihatan sedang berkembang dan sebarang gangguan akan menimbulkan masalah lain yang lebih serius. Ramai ibu bapa bertanya, berapa awal pemeriksaan mata boleh dilakukan terhadap kanak-kanak?

Jawabnya adalah seawal yang mungkin, sekiranya anda mengesyaki anak anda mengalami masalah mata kerana penyakit tidak mengenal usia. Kebarangkalian untuk mendapat penyakit boleh berlaku pada semua peringkat usia dan begitu juga dengan masalah gangguan fungsi penglihatan.

Saiz bola mata manusia akan berkembang antara lima milimeter (mm) hingga tujuh mm sahaja sepanjang hayat. Diameter bola mata bayi yang baru dilahirkan adalah 17.5 mm, manakala untuk dewasa adalah 23mm. Ketika bayi baru dilahirkan, ketajaman penglihatannya adalah 6/60. Ia akan berkembang dan akan mencapai tahap 6/6 pada umur empat tahun. Perkembangan ketajaman penglihatan berkait rapat dengan rangsangan cahaya dan objek yang dilihat di persekitaran. Ini bererti sekiranya kita menutup mata bayi, sistem penglihatannya tidak akan berkembang kerana tidak ada rangsangan penglihatan dari persekitarannya.

Sekiranya seseorang bayi mendapat katarak kerana jangkitan kuman ketika dalam kandungan, ia akan menghalang cahaya dari terfokus ke retina dan sistem penglihatan bayi tidak akan berkembang atau mencapai ketajaman penglihatannya tahap 6/6 menjelang umur empat tahun. Perkembangan ketajaman penglihatan yang tidak mencapai tahap 6/6 dinamakan “amblyopia” atau mata malas.

Amblyopia

Amblyopia atau mata malas adalah keadaan di mana ketajaman penglihatan tidak mencapai tahap 6/6 dengan preskripsi cermin mata terbaik tanpa ada sebab-sebab patologi lain. Kecacatan refraksi menjadikan kanak-kanak rabun yang menjadi sebab utama berlakunya amblyopia. Ini terjadi kerana pembiasan cahaya pada mata kanak-kanak yang rabun tidak terfokus pada retina dan seterusnya tidak merangsang perkembangan sistem penglihatan. Dalam keadaan ini pembetulan kerabunan perlu dibuat secepat mungkin agar amblyopia tidak berlaku.

Kejulingan juga menjadi faktor penting terjadinya mata malas. Kejulingan menyebabkan paksi penglihatan berubah dan cahaya tidak terfokus pada FOVEA iaitu titik peka pada retina dan boleh juga menyebabkan amblyopia. Pembetulan masalah penglihatan perlu dilakukan sebelum kanak-kanak berumur lapan tahun supaya sistem penglihatan berkembang dengan normal.

Bagi kanak-kanak yang kelihatan normal pada mata kasar, pemeriksaan pertama terhadap kesihatan mata harus dilakukan ketika berumur empat tahun atau ketika mula memasuki tadika. Ujian menyeluruh terhadap mata perlu dilakukan bagi menilai tahap kesihatan mata, bukan sekadar menguji tahap penglihatan atau tahap kerabunan sahaja.

Ramai antara kita tidak mengetahui bahawa kejulingan pada kanak-kanak boleh terjadi akibat rabun terutamanya kerabunan yang berlaku sebelum kanak-kanak berumur empat tahun. Sekiranya tahap kerabunan antara kedua-dua mata tidak sama, mata yang lebih rabun berkemungkinan besar akan juling. Ini kerana imej kabur dari mata tersebut tidak akan ditafsirkan oleh otak dan akibatnya mata tersebut tidak akan menumpu pada objek yang hendak dilihat. Lama-kelamaan mata tersebut akan juling.

Sistem penglihatan pada mata yang lebih rabun itu tidak akan berkembang dan akan menjadi amblyopia sekiranya tidak dibetulkan dari awal. Selalunya rabun jauh pada kanak-kanak akan menyebabkan juling keluar (exotropia) manakala rabun dekat akan menyebabkan juling ke dalam (esotropia).

Tip ujian ketajaman penglihatan

Sistem penglihatan adalah antara yang paling cepat berkembang dalam tumbesaran bayi. Bayi selalunya mula melihat objek- objek yang terang ketika berumur satu bulan, mula mengamati objek yang bergerak ketika berumur dua bulan dan mula mencapai sesuatu objek besar ketika berumur empat bulan. Perkembangan penglihatan ini berkembang berterusan dan akan mencapai tahap ketajaman penglihatan 6/6 pada umur empat tahun.

Beberapa ujian penglihatan boleh dilakukan di rumah oleh ibu bapa bagi menilai tahap penglihatan anak-anak dan untuk mengesan sebarang masalah penglihatan.

* Ujian penglihatan cahaya – Ini boleh dilakukan dengan menggunakan lampu suluh kecil yang digerakkan beberapa kali dari mata bayi ketika berumur dua atau tiga bulan. Selalunya bayi akan mengikut dengan gerakan kepala ke mana arah lampu digerakkan.

* Menggunakan mainan yang sederhana besar – Ujian ini boleh dilakukan ketika bayi berumur tiga hingga empat bulan. Letakkan alat mainan (seelok-eloknya yang mengeluarkan bunyi) tersebut di hadapan bayi, Bayi akan cuba mencapai alat mainan tersebut.

* Mengunakan gula-gula manik – Ujian ini boleh dilakukan semasa bayi berumur enam hingga tujuh bulan. Letakkan gula-gula manik yang berwarna-warni pada tapak tangan anda di hadapan bayi. Sekiranya penglihatan bayi normal, ia akan cuba mengutipnya dan dimasukkan ke dalam mulut. Cuba dengan beberapa saiz gula-gula yang berbeza.

* Memadankan gambar-gambar yang serupa – Ujian ini boleh dilakukan dengan menggunakan dua set gambar yang serupa. Selalunya boleh diuji pada kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun pada jarak yang agak jauh di hadapannya. Jika anak sudah mula bercakap, suruh dia sebutkan objek yang ditunjukkan atau padankan gambar yang tunjukkan.

Sekiranya bayi tidak menunjukkan tindak balas yang diharapkan terhadap ujian di atas, bawalah ia berjumpa pakar mata (optometris atau oftalmologis) untuk pemeriksaan lanjut. Jangan takut untuk membuat pemeriksaan mata terhadap anak-anak anda kerana pengesanan masalah pada peringkat awal adalah penting untuk mengelak kes-kes yang lebih teruk seperti amblyopia dan juling. Amblyopia dan juling juga kini boleh dirawat melalui kaedah ortoptik yang boleh didapati di pusat rawatan pakar mata dan juga pusat perkhidmatan optometris. Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap kesihatan mata anak agar tidak menjejaskan kehidupan dan pendidikan mereka kelak.

Rencana dari Mingguan Malaysia: 20 April 2008
Oleh DR. SHATRIAH ISMAIL (Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan)
GEJALA mata malas merupakan antara punca utama seorang kanak-kanak tidak berupaya melihat dengan baik.Gejala mata malas dikenali sebagai ambylopia dalam bahasa perubatan. Keadaan ini berlaku disebabkan kanak-kanak melihat imej yang kabur sekiranya mengalami masalah rabun, juling atau keabnormalan pada tisu mata.

Imej yang kabur ini menyebabkan perkembangan otak turut terjejas.

Input visual yang dilihat akan dihantar ke otak bagi membolehkan kanak-kanak mengenali sesuatu objek.

Sekiranya proses ini terganggu dan tidak dirawat, kanak-kanak tidak dapat mengenali objek yang dilihat kerana bahagian otak yang berperanan mengawal deria penglihatan tidak berfungsi dengan baik. Fenomena ini dikenali sebagai gejala mata malas.

Gejala mata malas ini berlaku pada sebelah mata atau kedua-dua belah mata pesakit. Ia perlu dikesan pada peringkat awal dan pesakit dinasihatkan menjalani rawatan yang sewajarnya sebaik sahaja diagnosis dibuat oleh doktor pakar mata.

Rawatan awal dan konsisten amat penting bagi memastikan keupayaan kanak-kanak melihat berada pada tahap yang baik.

Punca dan Tanda-Tanda Klinikal

Antara punca gejala mata malas yang dikenal pasti ialah;

* masalah mata rabun

* perbezaan kuasa refraktif mata

* mata juling

* keabnormalan pada tisu mata

Masalah Mata Rabun

Mata yang rabun disebabkan oleh masalah hypermetropia, myopia dan astigmatism. Keadaan ini menyebabkan gejala mata malas berlaku pada kanak-kanak sekiranya tidak dirawat dengan berkesan.

Hypermetropia ialah satu keadaan apabila pesakit mengalami kesukaran untuk melihat dengan jelas pada jarak yang dekat.

Keadaan ini dikenali sebagai rabun dekat dan boleh dikesan seawal umur lima hingga enam tahun. Mereka mungkin menulis, membaca dan menonton televisyen pada jarak yang sangat dekat.

Kanak-kanak ini perlu menjalani pemeriksaan mata yang menyeluruh oleh doktor pakar mata. Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, kanak-kanak ini akan mengalami kesukaran terutamanya ketika membaca dan menulis sebaik sahaja mereka memasuki alam persekolahan.

Myopia ialah satu keadaan dimana pesakit berupaya melihat pada jarak dekat dengan jelas tetapi mengalami kesukaran melihat pada jarak yang jauh.

Keadaan ini dikenali sebagai rabun jauh dan boleh dikesan pada usia lapan hingga sembilan tahun. Mereka biasanya mula mengadu tidak dapat melihat dengan jelas perkara yang ditulis oleh guru di papan hitam atau papan putih yang berada di hadapan kelas sekiranya mereka duduk dalam barisan belakang.

Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh (myopia) kurang berisiko mengalami gejala mata malas berbanding kanak-kanak yang mengalami masalah rabun dekat (hypermetropia).

Ini disebabkan kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh tidak menghadapi masalah penglihatan pada jarak yang dekat. Mereka boleh membaca dan menulis tanpa sebarang kesulitan.

Astigmatism ialah keadaan struktur kornea atau permukaan mata yang berlekuk dan tidak sekata. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak melihat imej yang tidak jelas dan berpecah.

Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, kanak-kanak yang mengalami masalah astigmatism akan mengalami gejala mata malas.

Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun dekat (hypermetropia), rabun jauh (myopia) atau astigmatism mengalami gejala mata malas pada kedua-dua belah mata.

Perbezaan Kuasa Refraktif Mata

Keadaan ini dikenali sebagai anisometropia atau satu fenomena di mana terdapat perbezaan kuasa refraktif di antara mata kanan dan mata kiri seseorang pesakit.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak mengalami masalah rabun seperti yang dinyatakan di atas, sama ada rabun dekat (hypermetropia), rabun jauh (myopia) atau astigmatism, mempunyai kuasa cermin mata yang berbeza di antara mata kanan dan mata kiri pesakit.

Mata yang memerlukan kuasa cermin mata yang lebih berbanding mata yang satu lagi akan melihat imej yang kabur sekiranya keadaan ini tidak dirawat.

Kanak-kanak yang mengalami situasi ini, akan mempunyai tahap keupayaan penglihatan yang tidak sama pada kedua-dua belah mata.

Pesakit akan melihat imej yang kabur pada sebelah mata sahaja dan fenomena ini dikenali sebagai mata malas.

Mata Juling

Keadaan mata juling yang berlaku secara konsisten pada sebelah mata menyebabkan berlakunya gejala mata malas.

Mata yang juling, sama ada juling masuk atau juling keluar, sebenarnya tidak melihat imej yang jelas. Keadaan ini menyebabkan mata yang juling mengalami gejala mata malas.

Keadaan mata yang juling silih berganti mempunyai risiko gejala mata malas yang sangat rendah.

Juling silih berganti ialah satu fenomena di mana hanya sebelah mata yang kelihatan juling dan sebelah mata lagi kelihatan lurus pada satu-satu masa.

Dalam tempoh yang singkat, mata yang mulanya juling boleh berkeadaan lurus dan mata yang sebelah lagi pula mengalami juling.

Pesakit sebegini biasanya tidak mengalami gejala mata malas kerana dia berupaya melihat dengan jelas menggunakan hanya satu mata pada setiap masa.

Keabnormalan Pada Tisu Mata

Sebarang keabnormalan pada tisu mata pada struktur kelopak mata, kornea, kanta mata, vitreous dan retina akan menyebabkan gangguan imej yang dilihat.

Masalah kelopak mata yang jatuh (ptosis) dan sebarang kesan parut pada kornea mata sama ada akibat kecederaan atau kecacatan asal menyebabkan input visual yang kurang jelas dihantar oleh saraf mata ke otak.

Penyakit katarak kongenital, gangguan struktur vitreous dan retina juga menyebabkan masalah yang sama.

Sekiranya keabnormalan seperti yang dinyatakan di atas tidak dirawat, kanak-kanak terbabit akan hanya melihat imej yang kabur.

Lama-kelamaan, otak akan mengabaikan imej kabur tersebut dan menyebabkan keupayaan melihat kanak-kanak tersebut menjadi sangat terhad.

Komplikasi

Perkembangan visual penglihatan dan otak yang mengawal deria penglihatan bermula seawal usia empat hingga enam bulan.

Usia dua hingga enam tahun pula sangat kritikal untuk perkembangan deria penglihatan. Sebarang keabnormalan deria penglihatan yang dikesan sebelum usia enam tahun berpotensi tinggi untuk dirawat bagi membolehkan kanak-kanak melihat dengan baik, sekiranya mendapat rawatan yang sewajarnya.

Sekiranya gejala mata malas ini dikesan selepas usia 11 hingga 12 tahun, potensi untuk melihat dengan kadar yang baik amatlah terhad.

Perkara ini dikhuatiri mengganggu proses pembelajaran dan fokus masa depan kanak-kanak terbabit.

Kaedah Rawatan

Kanak-kanak yang mengalami gejala klinikal seperti yang dinyatakan di atas perlu menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor pakar mata.

Pemeriksaan ini penting bagi memastikan diagnosis yang tepat dan mengenal pasti punca berlakunya gejala mata malas.

Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun (sama ada rabun dekat, rabun jauh atau astigmatism) dan perbezaan kuasa refraktif (anisometropia) juga perlu menjalani pemeriksaan refraksi mata oleh pegawai optometris yang terlatih.

Pemeriksaan refraksi mata akan menentukan kuasa cermin mata yang diperlukan oleh para pesakit.

Kanak-kanak ini akan dinasihatkan menggunakan cermin mata bagi membantu memulihkan keupayaan penglihatan mereka.

Walau bagaimanapun, mereka perlu menjalani pemeriksaan mata secara berkala bagi memastikan tahap penglihatan dan kuasa cermin mata mereka berada pada tahap yang optimum.

Sekiranya terdapat perbezaan tahap penglihatan di antara kedua-dua belah mata selepas menggunakan cermin mata, kanak-kanak terbabit perlu menjalani rawatan oklusi mata.

Doktor pakar mata biasanya akan menasihati kanak-kanak supaya menjalani rawatan oklusi mata di rumah.

Rawatan oklusi ialah satu bentuk rawatan yang didapati berkesan untuk merawat gejala mata malas.

Ia melibatkan proses menutup sebelah mata yang mempunyai tahap penglihatan yang lebih baik dengan menggunakan penampal khas.

Rawatan ini memakan masa selama beberapa jam seperti yang disyorkan oleh doktor pakar. Tujuan rawatan oklusi ialah menggalakkan kanak-kanak terbabit mula menggunakan mata yang kurang jelas dan otak belajar menerima input visual dari mata tersebut.

Rawatan oklusi mengambil masa, memerlukan kerjasama kanak-kanak terbabit dan juga komitmen yang tinggi oleh ibu bapa atau penjaga. Ia perlu dilakukan secara berterusan sehingga mata yang malas menunjukkan tahap penglihatan yang setara dengan mata yang sebelah lagi.

Pesakit yang mengalami masalah mata juling dan keabnormalan pada tisu mata perlu menjalani rawatan yang sewajarnya terlebih dahulu.

Selepas menjalani rawatan yang khusus untuk masalah juling dan keabnormalan pada tisu mata, barulah rawatan oklusi mata boleh diadakan secara sistematik.

Adalah penting supaya pesakit dapat mengikuti rawatan susulan mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor pakar mata.

Sepanjang tempoh rawatan, doktor pakar mata akan memantau tahap penglihatan pada kedua-dua belah mata para pesakit.

Rawatan oklusi biasanya ditamatkan setelah doktor pakar mata berpuas hati dengan tahap penglihatan pesakit.

Salah Anggapan Masyarakat

Masyarakat amnya kurang mendapat pendedahan mengenai gejala mata malas dan kaedah-kaedah rawatannya.

Gejala mata malas boleh dirawat sepenuhnya sekiranya dikesan pada peringkat awal dan ibu bapa mengambil sikap yang proaktif sepanjang tempoh rawatan diadakan.

Sikap menunggu sehingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu perlu dihindari. Kanak-kanak ini akan membesar dengan tahap penglihatan yang sangat rendah dan terhad sekiranya mereka tidak menjalani rawatan yang sewajarnya secepat mungkin.

Peranan Ibu bapa

Para ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam diagnosis awal dan rawatan yang tepat untuk penyakit ini.

Segeralah membawa anak anda berjumpa doktor pakar mata sekiranya anda mengesyaki mereka mengalami gejala mata malas.

Rawatan yang awal dan komitmen ibu bapa yang tinggi amat penting bagi membolehkan kanak-kanak yang mengalami gejala mata malas berupaya melihat kembali dengan baik dan jelas.

Mereka akan memerlukan keupayaan penglihatan yang optimum terutamanya menjelang alam persekolahan.

Rencana dari Mingguan Malaysia: 1 June 2008
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

BERGELAR ibu merupakan antara detik paling indah dalam hidup seorang wanita. Saat mengetahui bahawa diri sedang berbadan dua pastinya sangat menggembirakan terutama bagi pasangan yang baru berumah tangga.

Begitu yang dirasai Diana (bukan nama sebenar), tatkala ujian pengesanan hormon human chorionic gonadotropin (HCG) yang dilakukannya sendiri menunjukkan dua garisan selari. Selepas lima bulan mengalami keguguran kandungan pertama, pastinya detik ini sangat dinanti-nanti. Baginya, inilah masa yang sesuai untuk kehamilan baru memandangkan dirinya sudah cukup bersedia dari segi mental mahupun fizikal.

Berita gembira itu segera disampaikan kepada suami dan mereka bertemu doktor untuk mengesahkan lagi kandungan tersebut.

Segalanya berjalan lancar pada peringkat awal. Biarpun ada kalanya mengalami masalah biasa yang dihadapi oleh kebanyakan bakal-bakal ibu di peringkat awal kehamilan, semuanya ditempuhi dengan tenang demi menanti kehadiran insan bergelar anak.

Namun siapa yang mampu menolak takdir, andainya suratan menentukan kandungan yang baru berusia beberapa minggu tidak mampu bertahan dan mengalami keguguran.

Hati siapa yang tidak sedih apabila sekali lagi terpaksa menerima hakikat kandungannya mengalami keguguran.

Kerana disahkan mengalami missed abortion (keguguran tertinggal), di mana kandungannya sudah mati namun janin (atau kantung) tertinggal di dalam rahim, Diana disyorkan menjalani dilatation & curettage (D & C) atau biasa disebut ‘cuci.’

Entah mengapa, untuk menjalani proses D & C kali ini dia berasa seperti tidak selesa walaupun pernah menjalaninya untuk keguguran pertama dahulu. Perasaan sedih dengan kehilangan kandungan ditambah dengan pelbagai pandangan daripada beberapa pihak menyukarkan dia membuat keputusan.

Ada yang bersetuju dia melakukan D & C, namun ada juga yang menyarankan mengambil langkah lain dengan alasan ia berbahaya. Sesetengahnya berpendapat D & C yang berulang boleh memberi masalah untuk hamil di kemudian hari. Tidak kurang juga yang mengatakan ia mengundang beberapa masalah yang berkaitan dengan sakit puan. Ini berikutan ramai yang beranggapan ia dilakukan dengan cara yang kasar termasuk menggunakan peralatan tajam dan kemungkinan ‘cuci’ tidak bersih.

Mujurlah dalam keadaan begitu, sokongan suami yang berterusan membuatkan Diana tenang dengan dugaan yang menimpa. Tidak cukup dengan penjelasan doktor, dia turut mendapatkan maklumat daripada Internet mengenai proses D & C agar segala keputusan yang dilakukan tepat dan tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.

Dalam satu halaman maya yang dirujuk Diana, terdapat maklumat yang menarik perhatiannya mengenai kaedah ERPOC (evacuation of retained products) menggunakan sedutan yang banyak digunakan kini berbanding alat kuret yang selalu digunakan dalam proses D & C lama. Namun begitu kerana sudah biasa disebut D & C, istilahnya tetap dikekalkan biarpun kaedahnya sudah berubah.

Apakah ERPOC?

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr. Zamri Abd. Rahim, ERPOC adalah kaedah mengeluarkan produk kandungan yang tertinggal dalam uterus akibat keguguran. Kalau dahulu doktor menggunakan alat yang dipanggil kuret dengan cara mencungkil bahagian dalam rahim untuk mengeluarkan produk kandungan yang tertinggal, kini doktor akan menggunakan alat seperti vakum yang lebih selamat. Di sesetengah tempat kaedah ini disebut D & C sedutan atau ada juga yang memanggilnya dengan aspirasi vakum.

Bagaimanakah prosedurnya?

Ia merupakan pembedahan minor yang selamat dan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Biasanya pesakit hanya perlu menjalani rawatan harian di hospital sama seperti D & C. Mulanya pesakit akan dibius dan kemudian serviks akan dibuka menggunakan dilator. ERPOC biasanya menggunakan dua jenis vakum sama ada vakum elektrik (EVA) atau pam manual (MVA). Kanula (bahagian depan tiub) yang disteril akan dimasukkan ke dalam uterus bersambung dengan tiub dari pam dan ia menghasilkan vakum yang halus lalu menyedut seluruh kandungan dalam rahim.

Pada ketika manakah keguguran perlu menjalani ERPOC?

Kandungan di bawah 10 minggu boleh dicuci menggunakan ERPOC. Namun, bagi kandungan antara 11 hingga 15 minggu penyedut dengan diameter lebih besar akan digunakan dan kadangkala memerlukan bantuan kuret bagi memudahkan proses dilakukan.

Bagi kandungan yang telah mencapai minggu ke-16 hingga 24 pula, sejenis ubat seperti prostagladin akan digunakan untuk membuka pintu rahim dengan lebih luas. Kemudian kandungan akan dicungkil dengan kuret sebelum ERPOC dilakukan.

Sementara, bagi kandungan melebihi minggu di atas, janin akan keluar seperti kelahiran biasa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan wanita hamil yang mengalami keguguran menjalani ERPOC dan sekiranya peralatan tiada barulah proses D & C dibenarkan. Menurut perangkaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, hanya 2.4 peratus pengguguran menggunakan kaedah D & C pada tahun 2002, berbanding 23.4 peratus pada 1972.

Adakah ERPOC menyakitkan?

Tidak. Pesakit tidak berasa sakit kerana dibius ketika proses dilakukan. Selepas itu, pesakit mungkin mengalami sedikit kesakitan di bahagian perut seperti senak atau kejang ketika haid namun ia tidak lama. Luka di bahagian rahim juga jarang berlaku kerana ia tidak melibatkan proses kuretaj (menggunakan kuret).

Masyarakat selalu berpandangan negatif terhadap D & C. Ada yang berpendapat ia boleh menjejaskan kesuburan. Benarkah tanggapan ini?

Sebenarnya ia boleh berlaku sekiranya prosedur ini tidak dijalankan dengan betul. Misalnya pernah berlaku di mana kuret menerobos hingga keluar ataupun dinding rahim tercedera kerana cungkilan yang kuat. Atau juga berlaku serviks terkoyak. Apabila keadaan ini terjadi, sperma dan ovum yang sudah disenyawakan tidak mampu menempel di bahagian rahim menyebabkan kandungan tidak menjadi.

Kegagalan yang berlaku bukanlah disebabkan wanita tersebut tidak subur, tetapi keadaan di rahimnya yang tidak mengizinkan kandungan untuk terus kekal.

Bagaimanapun, kaedah ERPOC jauh lebih selamat berbanding D & C kerana ia jarang melibatkan luka besar.

Masalah yang direkodkan melalui kaedah ERPOC juga rendah iaitu 1.8 daripada 100,000 kes berbanding 2.8 daripada 100,000 kes melalui kedah D & C.

Benarkah alat kuret tajam?

Terdapat pelbagai jenis kuret yang digunakan dan ia berbeza mengikut negara. Alat kuret dengan hujung yang tajam digunakan oleh Amerika Syarikat suatu masa dahulu. Di negara ini, kuret seperti sudu yang panjang digunakan dan ia tidak tajam.

Sesetengah pendapat mengesyorkan pengambilan sejenis ubat untuk membantu keguguran. Adakah ia selamat dan apa kesannya dalam jangka masa panjang?

Sebenarnya pengambilan ubat untuk menggugurkan kandungan tidak digalakkan bagi kandungan yang melebihi enam minggu. Ini kerana mungkin kandungan tidak keluar sepenuhnya, menyebabkan wanita hamil itu mengalami kesakitan yang teruk dan perlu pula melalui proses ERPOC atau D & C. Bimbang juga berlaku komplikasi terhadap wanita tadi.

Namun di Barat, ubat seperti ini diberi kepada pesakit sebelum D & C dilakukan bagi memudahkan prosesnya.

Setakat ini belum terdapat kes yang menunjukkan ubat tersebut memberi kesan jangka panjang kerana ia akan keluar dari badan melalui pelbagai proses seperti perpeluhan dan perkumuhan.

Risiko D & C atau ERPOC?

Kuret boleh menembusi dinding rahim jika tidak dilakukan dengan betul, pendarahan luar biasa, kandungan masih tertinggal di dalam dan jangkitan kuman. Selain itu ibu-ibu juga mungkin mengalami trauma kerana kesedihan akibat kandungan yang tidak berjaya.

Walaupun jarang sekali berlaku, ada juga individu yang mengalami Sindrom Asherman selepas prosedur ini.

Akibatnya, wanita berkenaan mungkin mengalami kemandulan disebabkan oleh penyembuhan tisu-tisu di dalam rahim yang mendorong kepada berlakunya lekatan di antara dinding-dinding.

Seterusnya, kegagalan pertumbuhan kembali endometrium (dinding dalaman rahim untuk persediaan persenyawaan) dan pendarahan haid bulanan mungkin tidak berlaku.

Pesakit disarankan memaklumkan doktor pakar mereka sekiranya pendarahan haid menjadi tidak menentu selepas D&C atau ERPOC.

Bagaimanakah D & C membantu pesakit?

Sekiranya wanita mengalami endometrium polips, iaitu ketumbuhan pada dinding rahim yang menyebabkan sukar mengandung, D & C boleh digunakan sebagai satu cara untuk membuangnya. Ia sebenarnya membantu proses implantasi, bukan ovulasi.

Perlukah wanita keguguran menjalani rawatan berpantang secara tradisional?

Sebenarnya ia adalah tradisi ataupun praktis dalam masyarakat dan terpulang kepada mereka untuk mengikutinya. Jika berasa selesa dengan cara itu boleh diteruskan, tapi dalam dunia perubatan moden tiada pengesahan yang membuktikan kesahihannya.

Nasihat doktor kepada wanita yang mengalami keguguran?

Bersabar dan perlu menerimanya sebagai takdir. Sebenarnya 20 peratus daripada wanita mengandung hari ini mengalami keguguran. Dan sukar untuk menentukan apakah faktor yang menyebabkan berlakunya keguguran selain daripada kecacatan genetik.

Dapatkan pemeriksaan doktor pakar dan ikut nasihat yang diberikan. Pesakit perlu menjaga pemakanan dan pengambilan nutrien bagi membantu kehamilan seterusnya.

Pesakit juga perlu bersihkan fikiran, bahawa proses ERPOC yang dilakukan bukan bertujuan menggugurkan kandungan, tetapi demi kesihatan ibu dan juga fetus.

Mereka yang terdekat terutama suami perlu memberi sokongan kepada isteri, supaya dapat membina semula keyakinan mereka terhadap diri sendiri.

Bilakah waktu sesuai untuk wanita yang mengalami keguguran hamil semula?

WHO memperuntukkan tempoh tiga bulan untuk wanita berkenaan kembali sihat sepenuhnya. Namun bagi saya, ia bergantung kepada individu. Andainya wanita itu sudah berumur dan belum mempunyai anak, mereka tidak boleh menunggu terlalu lama kerana kesuburan semakin menurun sejajar pertambahan usia. Sebenarnya tidak ada masalah sekiranya mereka terus mengandung asalkan keadaan fizikal mengizinkan.

Rencana dari Mingguan Malaysia: 1 June 2008

Oleh PROFESOR MADYA DR. NORIMAH A. KARIM, Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

GAYA hidup yang sibuk membuat anda tidak duduk diam sepanjang hari. Anda mendapat kepuasan daripada pembahagian masa antara kerja dan komitmen peribadi.

Anda suka berkejar (dan memandu) ke sana sini untuk menguruskan hal kerja dan keluarga. Untuk memastikan anda mempunyai tenaga untuk melakukan kesemuanya, anda mengisi perut dengan apa sahaja yang ada.

Namun, ada kalanya anda merasa terlalu letih hingga tidak berdaya untuk membuka mata, apatah lagi untuk bangun dari katil.

Keadaan ini membuat anda tertekan (stres), lesu dan murung. Selalunya, anda juga merasakan seperti ingin merangkak semula naik ke atas katil.

Mengapa anda dibelenggu keadaan ini?

Anda makan hingga kenyang, tetapi mengapa masih kurang bertenaga?

Makanan yang anda makan setiap hari seharusnya memberi cukup tenaga untuk membolehkan anda bergerak cergas sepanjang hari tetapi di mana silapnya?

l Makan secara sihat

Anda mungkin makan dengan secukupnya tetapi untuk mengekalkan gaya hidup yang begitu sibuk, anda bukan sekadar perlu makan mengikut masa, malahan juga perlu mengamalkan tabiat makan yang sihat.

Ini kerana pemakanan yang betul memberi anda segala nutrien penting dan komponen makanan lain yang diperlukan untuk kekal sihat dan cergas sepanjang masa.

Makan secara sihat bermakna mengambil pelbagai jenis makanan kerana makanan yang berlainan membekalkan tenaga dan kombinasi nutrien yang berbeza.

Untuk memastikan anda mendapat bekalan tenaga dan nutrien yang secukupnya untuk keperluan harian, anda perlu makan pelbagai jenis makanan yang menggabungkan bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayuran, daging, ikan, ayam serta produk susu (dengan penekanan kepada empat kumpulan makanan yang pertama).

Anda juga perlu mengurangkan pengambilan lemak, gula dan garam. Dan minum banyak air!

Setelah memahami peranan diet yang pelbagai dan seimbang untuk memastikan anda cergas dan bertenaga, adakah anda tahu apa lagi yang diperlukan untuk memberikan prestasi yang terbaik setiap hari?

l Gerakkan Badan!

Ya, anda perlu aktif dan bersenam! Kekal aktif adalah sama penting dengan makan secara sihat untuk mengekalkan kesejahteraan secara keseluruhan. Malah, pemakanan yang betul dan aktiviti fizikal perlu seiring kerana diet memberi anda tenaga yang diperlukan untuk kekal aktif.

Aktiviti fizikal memberi banyak kelebihan. Antara lain, ia membolehkan anda mengekalkan imbangan tenaga kerana aktiviti fizikal membakar kalori untuk membolehkan anda kekal sihat, langsing, dan tidak gemuk.

Ia juga membantu anda mengekalkan berat badan yang sihat dan memastikan kesihatan kardiovaskular serta kekuatan dan fleksibiliti badan.

Senaman juga berkesan menghindari pelbagai penyakit, termasuk penyakit kardiovaskular (senaman boleh membantu menguatkan otot jantung), hipertensi (mengurangkan tekanan darah tinggi), diabetes (mengawal paras glukosa darah), obesiti dan osteoporosis.

Sebagai bonus tambahan, senaman juga mengurangkan tahap stres, memberi anda semangat, tenaga dan menaikkan harga diri.

Lebih penting lagi, senaman membuat anda kelihatan segak, merasa yakin diri dan berfikir dengan lebih baik!

Sekarang anda sudah tahu segala kebaikan yang diperolehi dari aktiviti fizikal dan senaman, jadi mengapa anda tidak berusaha untuk menerap amalan sihat ini ke dalam gaya hidup anda?

Jika boleh, anda patut cuba bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dalam kebanyakan hari setiap minggu.

Jika anda berbadan gempal, jangan terus mula berjoging selama 20 minit. Cuba dahulu senaman regangan badan yang ringan atau mula berjalan selama lima hingga 10 minit.

Tingkatkan intensiti dan tempoh masa aktiviti fizikal atau senaman apabila anda semakin biasa dengan senaman tersebut. Anda juga boleh mulakan program senaman yang lebih berat setelah biasa dengan senaman yang anda mula-mula lakukan.

l Terlalu Sibuk?

Dengan kekalutan yang menyebabkan anda sibuk sepanjang masa, anda mungkin mendapati sukar untuk meluangkan sedikit masa untuk aktiviti fizikal.

Tetapi jika anda benar-benar serius untuk menjaga kesihatan, anda pasti boleh mencuri masa untuk bersenam.

Jadi, jika anda makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara tetap, anda bukan sahaja akan merasa sihat dan nampak berseri-seri, tetapi juga mempunyai cukup tenaga untuk bekerja, berfikir, bergiat aktif dan meneruskan gaya hidup biasa anda setiap hari!