Feeds:
Posts
Comments

Rencana dari Mingguan Malaysia: 1 June 2008

Oleh PAUL KOH, Pakar Herba & Rawatan Holistik

Dianggarkan antara 10 hingga 15 peratus orang Malaysia menghidapi penyakit kencing manis jenis II dan hampir 20 peratus lagi mempunyai pra kencing manis. Malangnya, lebih 50 peratus daripada mereka tidak menyedari menghidapinya. Yang menakutkan ialah bukannya penyakit itu sendiri. Namun jika seseorang itu menghidapi penyakit kencing manis, dia menghadapi risiko lebih tinggi untuk menderita tekanan darah tinggi, aterosklerosis, kegagalan jantung kongestif, neuropati, masalah seksual, osteoporosis, kanser, katarak, kegagalan buah pinggang dan penuaan pramasa.

Memahami dua jenis penyakit kencing manis (jenis I dan II)

Mereka yang menghidapi kencing manis jenis I (kencing manis bergantung insulin) akan mengeluarkan hanya sedikit sahaja ataupun tiada langsung insulin, manakala dalam penyakit kencing manis jenis II (kencing manis tidak bergantung insulin) pankreas terus membuat insulin tetapi badan kita mewujudkan penentangan terhadap kesan insulin itu, maka gula darah tidak dapat memasuki sel-sel dengan cekap sehingga ia menghasilkan paras gula darah yang lebih tinggi.

Apa sebenarnya kencing manis?

Apa yang kita ketahui tentang kencing manis jenis II hanyalah penghuraian tentang gejala dan akibatnya. Apa yang kita selalu lakukan ialah merawati gejala sahaja iaitu kandungan gula dalam darah yang tinggi dan bukan merawat penyakit sebenar secara dasarnya.

Rawatan yang hanya menumpukan usaha untuk merendahkan gula darah dalam kencing manis pada masa yang sama akan meningkatkan paras insulin; ini akan memburukkan lagi keadaan bukan mengubati masalah kepincangan komunikasi metabolik.

Apakah faktor yang menyebabkan kencing manis jenis II?

Disglisemia – Penentangan insulin dan kecacatan pengisyaratan leptin

Pesakit kencing manis jenis II dan pra kencing manis akan mengalami disglisemia. Ia keadaan yang melibatkan pelepasan lebih banyak insulin daripada yang boleh ditangani oleh reseptor sel. Penentangan insulin pada umumnya berlaku sebagai tindakbalas terhadap obesiti (kegemukan) dan/atau kurang senaman. Faktor lain termasuklah pengambilan karbohidrat berlebihan terutama gula dan kanji (nasi, roti, pasta, keropok, kuih- muih, bijirin sarapan pagi, dll). Bahan dalam makanan ini akan menaikkan paras glukosa darah secara berlebihan dan sebagai tindakbalas, pankreas akan melepaskan lebih banyak insulin. Tidak lama kemudian, reseptor sel itu akan menjadi tepu, malahan mungkin tertutup sama sekali dan tidak berfungsi lagi. Oleh itu glukosa dan insulin mula terkumpul dalam aliran darah.

Mengapakah keadaan ini berlaku?

Satu sebabnya ialah kekurangan faktor toleransi glukosa (GTF). Ia wujud secara semulajadi dalam struktur badan terutama dalam hepar. Ia membantu mengaktifkan kegiatan insulin dan mengekalkan metabolisme glukosa yang sihat. Adalah dinyatakan bahawa apabila badan kita kekurangan GTF, insulin akan mengalami keaktifan yang rendah. Glukosa yang memasuki aliran darah tidak dapat diangkut dengan cekap ke sel kita dengan itu mengakibatkan kenaikan paras glukosa darah yang tinggi.

Satu sebab lain ialah kecacatan dalam pengisyaratan leptin. Hormon leptin sebahagian besarnya bertanggungjawab terhadap ketepatan pengisyaratan insulin dan menentukan sama ada seseorang itu akan menjadi penentang insulin atau tidak. Leptin, sejenis hormon yang dikeluarkan oleh lemak memaklumkan kepada badan dan otak berapa banyak tenaga dipunyai, sama ada memerlukan lebih banyak tenaga (memberi isyarat kelaparan), atau sama ada ia patut membuang sedikit tenaga (tidak kelaparan) dan apa yang harus lakukan terhadap tenaga yang dipunyainya itu (mengeluarkan semula, meningkatkan kawalan pembaikan selular, atau tidak).

Perubahan gaya hidup

Perubahan terhadap gaya hidup perlu dilakukan untuk mencegah dan mengawal penyakit kencing manis. Di sini disyorkan beberapa langkah yang praktik:

1) Rancang pemakanan – apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak. Oleh itu:

i) Hapuskan atau kurangkan pengambilan gula – fruktosa, glukosa, sirap jagung, madu, gula sirap, sirap mapel dan jus buah-buahan.

ii) Kurangkan pengambilan karbohidrat tidak berserat: karbohidrat kompleks seperti ubi kentang, nasi, bijirin, pasta, roti, kuih- muih, kek dan pastri.

iii) Makan lebih banyak makanan berserat tinggi, gantikan dengan karbohidrat mudah.

iv) Makan makanan yang mengandungi protein tinggi sihat seperti ikan, telur, daging ayam dan daging putih yang lain dan lemak yang baik seperti minyak zaitun.

2) Senaman

Senaman akan mengurangkan penentangan insulin. Bersenam setiap hari membantu mengekalkan paras gula darah pada tahap rendah. Latihan angkat berat intensiti tinggi dilakukan bersama dengan program pengurangan berat badan yang sederhana, boleh membantu para pesakit kencing manis jenis II memperbaiki pengawalan gula darah.

3) Suplemen semulajadi untuk pesakit kencing manis

Herba-herba penting

Herba-herba tertentu seperti kayu manis, banaba dan kunyit adalah diketahui sebagai dapat membantu memperbaiki toleransi glukosa dan menurunkan paras gula darah. Satu rumusan seperti itu yang saya gunakan mengandungi pati larut air yang dipiawaiankan daripada kayu manis dan dicampur dengan banaba. Kajian-kajian menunjukkan pati kayu manis yang larut air boleh meningkatkan kegiatan insulin sehingga beberapa kali ganda. Banaba, sejenis herba yang berasal dari Filipina mengandungi sejenis jisim yang dikenali sebagai asid corosolic dan ia mempunyai ciri-ciri yang dapat menurunkan glukosa darah.

4) Suplemen nutrisi lain

i) Asid alfa lipoik: Dianggap sebagai nutrien penting bagi para penghidap kencing manis.

Dos pengambilannya berjulat antara 50mg hingga 600mg bergantung kepada keparahan masalah itu.

ii) Vanadium: Ia telah terbukti dapat memperbaiki pengawalan glukosa bagi mereka yang menghidapi kencing manis jenis II dengan meningkatkan sensitif insulin. Kerana kemungkinan kesan-kesan seperti insulin yang diperolehi daripada vanadium maka kekurangan mineral surih ini hendaklah sentiasa dijaga bagi mereka yang mengalami ketidaknormalan gula darah.

iii) Kromium: Meningkatkan bilangan reseptor insulin pada sel-sel dan juga kegiatan reseptor tersebut.

iv) Vitamin B1, B2, B3, B5, B6, B12 dan Biotin merupakan pembawa tenaga bio dalam metabolisme selular; meningkatkan keberkesanan metabolik, terutama sekali pada sel-sel hepar, unit pusat bagi metabolisme badan.

v) Vitamin E: Bertindak sebagai pelindung antioksidan bagi membran-membran sel.

vi) Vitamin C: Membetulkan ketidakseimbangan selular yang disebabkan oleh paras gula darah yang tinggi, menyumbangkan terhadap keperluan insulin yang lebih rendah, mengurangkan penyingkiran glukosa dalam air kencing dan melindungi dinding- dinding arteri.

vii) Minyak Ikan: Minyak ikan atau Omega 3 telah pun terbukti sebagai dapat membantu menurunkan gula darah. Ia juga mengekalkan aliran darah yang sihat, terutama sekali dari segi peredaran mikro dan juga ia mempunyai sifat anti inflamasi yang mujarab.

Jika anda seorang penghidap kencing manis atau pra kencing manis, maka keperluan nutrisi anda adalah berbeza. Oleh yang demikian, pilihlah multivitamin dan suplemen mineral yang telah diperkuatkan dengan asid alfa lipoik, vanadium, kromium dan biotin yang berpotensi lebih tinggi serta ditambahi dengan ramuan yang tersebut di atas demi untuk mengoptimumkan kesihatan dan mencegah penyakit.

Rencana dari Mingguan Malaysia: 1 June 2008
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

MENJARAKKAN kehamilan bukan lagi satu perkara yang menjadi tabu kepada masyarakat di Malaysia kini. Kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan kesibukan kerja menyebabkan bilangan ahli keluarga kini semakin mengecil berbanding 20 tahun dahulu.

Lantaran itu tidak hairanlah kebanyakan pasangan suami isteri terutama golongan muda memilih untuk merancang keluarga bagi menjarakkan kehamilan atau pun mengehadkan bilangan anak.

Dengan perkembangan dunia perubatan yang semakin maju, sebenarnya tiada lagi istilah ‘termengandung’ yang biasa digunakan oleh kaum wanita sebagai alasan setiap kali hamil lagi.

Pelbagai kaedah merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan dengan kadar kos yang berpatutan mudah didapati kini.

Sama ada kaedah yang digunakan bersifat sementara atau kekal, perancangan keluarga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu dan anak serta memberi kesejahteraan kepada keluarga secara keseluruhannya.

Jika masyarakat dahulu menggunakan kaedah tradisional seperti memakan air rebusan akar kayu atau jamu untuk mengelak hamil, kemunculan pil kontrasepsi dan kondom turut memberi ‘kelegaan’ bagi pasangan yang ingin merancang keluarga. Dan kini dengan hadirnya pelbagai lagi jenis kontrasepsi yang selamat, berkesan, mudah digunakan dan murah menjadikan perancangan keluarga bukan lagi perkara yang sukar.

Antara kaedah terkini yang semakin mendapat perhatian namun belum digunakan secara menyeluruh adalah implanon.

“Implanon adalah alat kontrasepsi berbentuk rod kecil yang dipasang hanya di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas.

Ia boleh menghalang kehamilan sehingga tiga tahun dan tidak memerlukan sebarang tindakan harian,” kata Dr. Hamizah Mohd. Hassan dari Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurutnya lagi, implanon adalah kaedah halangan yang sangat berkesan dengan kurang daripada satu peratus kegagalan dilaporkan. Kebanyakan kegagalan yang berlaku adalah disebabkan kedudukan implanon yang tidak tepat. Wanita yang memakai implanon akan subur semula selepas tiga minggu alat tersebut dibuka malah implanon juga tidak mengganggu hubungan seks seperti sesetengah kontrasepsi.

Setiap rod implanon mengandungi etonogestrel. Ia bertindak melepaskan hormon progestin pada paras yang tetap sepanjang hayatnya.

“Implanon sesuai untuk ibu-ibu yang sedang menyusukan bayi mereka,” jelasnya.

Kata Dr. Hamizah, implanon juga bertindak dengan cara memekatkan mukus serviks yang mana dengan sendirinya menghalang kemasukan sperma ke dalam tiub fallopian.

Dengan ini, gangguan berlaku di bahagian endometrium sekretori yang mana ia menjadi nipis dan tidak membenarkan ovulasi berlaku.

Mungkin kedengaran agak menakutkan apabila rod implanon perlu dimasukkan di bawah lapisan kulit menggunakan trokar, namun menurut Dr. Hamizah, kaedah ini paling sesuai memandangkan ia kekal sepanjang pemakaian dan tidak memerlukan penjagaan yang melecehkan.

“Kalau dengan cara pil misalnya wanita tersebut mungkin akan terlupa,” katanya.

Namun begitu pemakaian implanon juga mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kesan pendarahan atau haid yang tidak dijangka.

Menjawab pertanyaan, Dr. Hamizah berkata, ada ketikanya berlaku kesan pendarahan tidak dijangka ketika penggunaan atau selepas tiga hingga empat bulan penggunaan.

Katanya, 50 peratus pemakai mungkin tidak mengalami haid atau mengalami sedikit sekali-sekala, 40 peratus mendapat pusingan haid yang normal manakala 10 peratus mengalami pendarahan banyak dan membebankan. Jika perkara ini berlaku, doktor akan menasihatkan supaya implanon ditanggalkan.

Implanon juga boleh menyebabkan komplikasi jangkitan setempat sebanyak satu peratus. Kesan-kesan yang biasa adalah berlaku lebam di sekitar kawasan kemasukan. Ada juga komplikasi berlaku ketika implanon ingin ditanggalkan terutama jika rod melebihi sebatang.

Masalah-masalah yang biasa dialami ketika menggunakan kontrasepsi lain seperti pening kepala, jerawat dan pertambahan mungkin juga boleh berlaku kepada pemakai implanon.

Namun sehingga kini belum ada pengesahan sama ada implanon boleh mengubah risiko seseorang wanita terhadap kanser payu dara.

Siapa yang boleh menggunakan implanon?

Wanita yang mahukan kaedah yang mudah, berkesan, mudah dipasang dan ditanggal, mudah kembali untuk subur, kekal di tempat di mana ia dipasang, tidak perlu melakukan sesuatu terhadap kontrasepsi yang dipakai, tidak memakai sebarang kontrasepsi lain dan alah kepada estrogen sintetik.

Siapa yang tidak boleh menggunakan implanon?

Wanita yang mempunyai tumor thromboembolic disorder progestogen dependent (sama ada sudah mengetahuinya atau disyaki), mempunyai sejarah lalu atau semasa penyakit hepatik yang teruk seperti fungsi hati tidak kembali kepada normal, tumor hati benign atau malignant, carcinoma di dada, sedang hamil atau mengalami pendarahan vagina.

Fakta mengenai implanon:

l berbentuk rod sepanjang 4 sm x 2 mm, mengandungi 68 miligram gonane progestin etonogestrel.

l implanon boleh dikeluarkan pada bila-bila masa namun penggunaannya perlu dihadkan sehingga tiga tahun sahaja.

l mula sekali diperkenalkan di Indonesia pada 1998, kemudian diluluskan penggunaannya di 30 negara lain dan kini telah dipakai oleh lebih 2.5 juta wanita seluruh dunia.

Cara pemakaian:

Anestetik disuntik pada bahagian lengan atas dan kemudian alat trokar seperti jarum digunakan untuk memasukkan rod implanon di bawah lapisan kulit. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit. Hanya doktor berpengalaman dibenarkan melakukan prosedur ini bagi mengurangkan risiko kerosakan saraf atau diletakkan di tempat yang tidak betul yang akhirnya menyebabkan kehamilan yang tidak diingini. Hanya 3.6 peratus pemakai implanon pernah mengalami komplikasi setempat termasuk bengkak, kemerahan, hematoma dan kesakitan.

Mengapa perlu perancang keluarga?

Kata Dr. Hamizah, kaedah perancangan keluarga adalah untuk menjarakkan kehamilan atau mengehadkan bilangan anak sama ada secara sementara atau kekal.

“Perlu diingat bahawa kaedah perancangan keluarga bukan bererti tidak mahu anak,” katanya.

Menurut Dr. Hamizah, seseorang yang mengamalkan perancangan keluarga adalah bersebab seperti menghidap kanser yang memerlukan rawatan, hamil berisiko, kahwin ketika usia terlalu muda atau usia lewat atau memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat.

Jelasnya lagi, fatwa daripada Majlis Fatwa pada 1981 menetapkan bahawa kontrasepsi untuk mengurangkan bilangan anak adalah haram kecuali atas sebab-sebab yang mengharuskannya dan perlulah dilakukan dengan cara tidak kekal atau tidak memandulkan.

“Keadaan yang diharuskan adalah isteri terlalu lemah atau sakit, pasangan ada penyakit keturunan, isteri mengandung terlalu kerap atau masih menyusu bayi dan kandungan menyebabkan gangguan mental terhadap ibu.

“Merancang keluarga adalah bersifat sementara, menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga adalah harus,” katanya menjelaskan mengenai fatwa tersebut.

Jenis-jenis kaedah perancang keluarga:

1. Tradisional

Penggunaan jamu, herba dan ubatan tradisional masyarakat lama.

2. Semulajadi

Mengunakan kaedah masa selamat, suhu badan (masa subur/ tidak subur), mukus serviks (perubahan kepekatan dan warna) dan azal (mencabut zakar sebelum ejakulasi). Peratus kegagalan tinggi kerana sukar menentukan waktu kesuburan yang tepat.

3. Halangan

Penggunaan kondom (lelaki/ wanita), diafram, kap serviks dan spermisid (bunuh sperma). Kegagalan masih boleh berlaku.

4. Hormonal

Pil, suntikan, implanon, tampalan (belum ada di Malaysia) dan gegelang vagina (belum ada di Malaysia). Kesuburan baik pulih selepas kontrasepsi dihenti atau ditanggalkan.

5. Kontrasepsi darurat

Pil mencegah kehamilan selepas satu persetubuhan yang tidak dilindungi. Perlindungan berkesan 72 jam selepas persetubuhan, kurang berkesan selepas itu dan boleh diambil untuk tempoh 120 jam (lima hari).

6. Alat dalam rahim (ADR)

Alat yang dimasukkan dalam rahim dan dibiarkan untuk tempoh tertentu. Diperbuat daripada polietelin dan kuprum. Berkesan antara tiga hingga lima tahun bergantung kepada luas permukaan kuprum. Peratus kegagalan 0.16 kehamilan dalam 100 wanita setahun.

7. Pemandulan

Lelaki (vasektomi- mengikat saluran vas deferens) dan wanita (pembedahan untuk mengikat kedua-dua saluran tiub fallopian).

Menurut Majlis Fatwa pada 1981, memandulkan perempuan atau lelaki adalah haram kerana dianggap kontrasepsi kekal. Namun pengecualian diberi dengan bersebab; wanita itu tidak boleh menggunakan sebarang kaedah lain atas alasan kesihatan yang mana hamil boleh membahayakan nyawanya sendiri.

Nasihat doktor kepada mereka yang ingin merancang keluarga?

Dapatkan rundingan daripada pakar mengenai kaedah yang bersesuaian. Jangan dengar cadangan orang lain selain doktor kerana tidak semua kaedah sesuai dengan semua orang.

Rencana dari Mingguan Malaysia: 27 April 2008

Oleh: TAN YOKE HWA dari Persatuan Dietitian Malaysia

DENGAN gaya hidup yang sibuk serta peranan dan tanggungjawab yang dikendalikan setiap hari, sememangnya tidak hairanlah mengapa kita tidak mempunyai banyak masa untuk makan, apatah lagi untuk makan secara betul. Jadual yang sibuk menyebabkan lebih ramai yang mengabaikan tabiat makan yang betul. Namun demikian, kesuntukan masa bukanlah satu-satunya faktor yang menghalang kita daripada membuat pilihan makanan yang betul.

Pada hari ini, kita juga mempunyai pelbagai jenis pilihan makanan dan tambahan lagi, hampir setiap hari kita juga dihujani dengan maklumat yang tidak benar tentang kesihatan serta pemakanan dan tuntutan tidak benar tentang makanan. Disebabkan semua ini, maka tidak hairanlah kebanyakan orang langsung tidak tahu maksud sebenar makan secara sihat.

Keadaan ini membawa kepada peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang menghidapi penyakit kronik yang berkaitan dengan diet. Jumlah yang semakin meningkat sememangnya menghairankan kerana kita telah menjadi masyarakat yang semakin maju sejak beberapa tahun yang lalu. Tetapi malangnya, inilah yang telah menyebabkan tercetusnya masalah ini.

* Gaya Hidup Tidak Sihat Akibat Pemodenan

Kehidupan dan gaya hidup yang berlandaskan kelengkapan moden membawa kesan negatif seperti tidak mengambil berat tentang kesihatan dan tidak bergiat aktif. Kita lebih suka menonton televisyen atau menatap skrin komputer di rumah daripada menikmati aktiviti di luar rumah. Dengan gaya hidup yang sibuk, kita juga lebih gemar makan di luar daripada menikmati masakan yang dimasak di rumah. Dan kita juga biasanya sedikit sebanyak atau langsung tidak akan memikirkan tentang kesihatan dan nilai pemakanan makanan yang dimakan. Itu pun jika kita ingat atau mempunyai masa untuk makan! Sememangnya terdapat pelbagai jenis pilihan makanan tetapi malangnya, kebanyakan kita akan membuat pilihan yang salah dari segi jenis dan kuantiti yang perlu dimakan.

l Pendekatan Holistik

Diet serta pemakanan yang sihat adalah penting untuk kesejahteraan secara am. Walau bagaimanapun, makan secara sihat hanya merupakan satu daripada komponen ke arah mencapai kesejahteraan dan kehidupan yang bertenaga. Untuk kesejahteraan secara keseluruhan, kita bukan sahaja perlu makan dengan betul malah kita juga perlu menitikberatkan aktiviti fizikal, kesejahteraan sosioemosi dan pencegahan penyakit. Ini merupakan empat perkara utama dalam pendekatan holistik ke arah kesejahteraan pemakanan.

1. Diet yang sihat

Diet yang sihat serta seimbang akan membekalkan nutrien harian dan komponen makanan lain yang membolehkan anda memiliki minda serta tubuh yang sihat dan juga bertenaga untuk menjalani aktiviti-aktiviti harian anda. Sebaiknya, makanlah pelbagai jenis makanan kerana tiada makanan khusus yang dapat membekalkan semua nutrien yang diperlukan. Makanan yang berbeza dalam kumpulan yang sama (seperti beras, roti dan bijirin sarapan) membekalkan nutrien yang berbeza dalam jumlah yang berbeza.

Makanlah diet yang seimbang berasaskan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah lemak serta kurangkan pengambilan lemak, gula dan garam.

2. Lebih sihat, lebih gembira!

Menjadi aktif secara fizikal adalah sama pentingnya dengan makan secara sihat. Aktiviti fizikal akan memperbaiki kesihatan kardiovaskular, kekuatan dan kefleksibilan membakar kalori untuk menjadikan anda sentiasa sihat dan langsing serta membuatkan anda kelihatan, rasa dan berfikir dengan lebih baik.

Senaman yang tidak mencukupi boleh menyebabkan berlebihan berat badan atau obes di mana akhirnya boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius. Bersenam pada hari ini akan memanfaatkan anda di kemudian hari, jadi bermatlamatlah untuk bersenam sekurang-kurangnya selama 30 minit untuk kebanyakan hari dalam seminggu. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes, maka anda perlu bersenam dengan lebih kerap (dan untuk jangka masa yang lebih lama) untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.

3. Urus stres anda

Kehidupan zaman moden boleh mengakibatkan stres tetapi makan secara sihat dan betul membolehkan anda mengendalikan stres serta menguruskan hidup dengan lebih baik. Ia juga meningkatkan harga diri, keyakinan dan membuatkan anda rasa sihat.

Jangan melegakan stres anda dengan makan atau minum mengikut nafsu. Sebaliknya, cubalah pendekatan lain seperti tidak bekerja terlalu kuat, belajar untuk menguruskan masa atau melakukan lebih banyak perkara yang anda gemari.

4. Mencegah penyakit

Pada hari ini, penyakit jantung, kanser dan diabetes semakin meluas. Tidak kira sama ada anda menghidap ataupun tidak penyakit kronik ini, anda masih perlu mengamalkan tabiat makan yang sihat. Pemakanan yang baik yang digandingkan dengan gaya hidup sihat dapat membantu anda kekal sihat dan melambatkan atau mungkin juga terus mencegah sebarang penyakit.

Pastikan anda kerap menjalankan pemeriksaan perubatan yang boleh mengesan serta merawat kes-kes peringkat awal penyakit jantung dan diabetes. Ujilah paras glukosa darah, kolesterol serta tekanan darah anda secara kerap untuk memastikan mereka sentiasa berada pada lingkungan paras yang disyorkan.

Jika anda mengamalkan keempat-empat pendekatan ke arah kesejahteraan yang di sebutkan di atas maka anda sudah pastinya akan terus menikmati kehidupan hari ini, hari esok dan untuk jangka masa yang lebih lama lagi!

Adakah Anda Menuju Ke Arah Kesejahteraan?

Cubalah kuiz ringkas ini untuk mengetahui sama ada anda sedang mengamalkan pendekatan yang holistik ke arah kesejahteraan. Tahniah! Jika anda telah menjawab “Ya” untuk kesemua soalan di sini, kerana anda sememangnya sedang melakukan perkara yang betul!

l Saya memakan diet yang seimbang serta lengkap setiap hari.

l Saya tidak pernah meninggalkan waktu makan. Malah saya makan mengikut waktu yang tetap.

l Saya mengurangkan pengambilan lemak, gula dan garam.

l Saya meluangkan masa untuk bersenam sekurang-kurangnya selama 30 minit setiap hari untuk kebanyakan hari dalam seminggu.

l Saya lebih suka berjalan daripada memandu jika hendak ke destinasi yang terdekat.

l Berat badan saya kekal sihat serta tetap sejak beberapa tahun yang lalu.

l Saya kerap meluangkan masa untuk melakukan perkara-perkara yang digemari.

l Saya kerap membuat pemeriksaan perubatan dan tahu paras-paras ujian saya (seperti tekanan darah, glukosa darah, kolesterol).

Rencana dari Mingguan Malaysia: 27 April 2008

Oleh: KOL (B) DR ABD RAHMAN MOHD ALI, Pakar Perubatan & Kardiologi, DEMC, Shah Alam.

SERING kita mendengar berita manusia cedera atau mati akibat dipanah petir. Walaupun kematian akibat panahan petir jarang berlaku, ia merupakan punca kematian akibat cuaca yang paling banyak berlaku selain daripada banjir.

Di Amerika Syarikat (AS), dilaporkan berlaku 3,000 kematian setahun akibat serangan jantung yang berkaitan dengan panahan petir. Kebanyakan kes orang terkena panahan petir berlaku di luar bangunan, semasa melakukan aktiviti sukan/rekreasi (memancing, berenang, bersukan padang, bermain golf) atau bekerja (pembinaan, pertanian).

Kecederaan akibat panahan petir berlaku dengan beberapa cara:

1. Panahan secara langsung (Direct Strike), tiga hingga lima peratus.

2. Panahan sentuhan (Contact strike), satu hingga dua peratus (seseorang yang menyentuh sesuatu objek yang terkena panahan petir seperti pokok, tiang bendera, tiang lampu jalan).

3. Serpihan (Side splash), 30 peratus (petir yang terkena pada sesuatu objek dan terpantul atau menyerpih ke bumi).

4. Panahan bumi (Ground Strike), 40 hingga 50 peratus (panahan petir ke permukaan bumi dan bergerak dalam lingkaran bulat dari pusat panahan sejauh 50 hingga 70 meter).

5. Petir bumi (Upward streamer) 20 hingga 25 peratus (semasa petir, caj elektrik bertenaga rendah dari permukaan bumi menjalar naik untuk bersambung dengan petir. Caj elektrik ini boleh mencederakan seseorang bila ia terkena walaupun caj ini belum bersambung dengan petir dari langit).

Kecederaan panah petih

Akibat terkena panahan petir seseorang boleh mengalami beberapa kecederaan, bergantung kepada cara mangsa dipanah petir.

Ianya boleh mengakibatkan kecederaan ringan, kecederaan parah dan juga kematian. Kadar kematian akibat panahan petir adalah antara lapan hingga 10 peratus.

Jantung berhenti berdenyut (cardiac arrest) semasa panahan petir menjadi antara punca utama kematian mangsa.

Kecederaan yang boleh berlaku termasuk:

1. Kecederaan pada jantung – cardiac arrest, arithimia, kerosakan alat bantu denyutan (pacemaker).

2. Kecederaan otak – hilang kesedaran, sawan, sakit kepala, perubahan personaliti, hilang tumpuan, pening, permasaalahan saraf seperti sakit dan kebas.

3. Kecederaan letupan (Blunt injury) – seseorang boleh terpelanting akibat letupan yang berlaku di kawasan panahan petir.

4. Kesan terbakar pada permukaan kulit. Kulit terbakar teruk (Deep burn) jarang berlaku (kurang lima peratus).

5. Kecederaan telinga – gegendang telinga koyak atau berdarah, sakit dan kurang pendengaran, vertigo.

6. Kecederaan mata – masalah penglihatan, katarak.

5. Cedera lain akibat kecederaan letupan – patah tulang, terkehel sendi, patah tulang tengkuk, retak tengkorak, paru-paru terkoyak, kecederaan dalam abdomen.

Risiko terkena panahan petir

Terdapat dua faktor utama yang meningkatkan risiko panahan petir iaitu

1. Ketinggian sesuatu objek dari permukaan bumi

2. Jarak seseorang dari objek yang terkena petir. Petir boleh menjalar antara 30 hingga 50 meter secara bulatan daripada objek yang dipanah.

Telefon bimbit, alat muzik mudah alih dan komputer riba tidak meningkatkan risiko dipanah petir.

Tetapi telefon talian tetap, alat elektrik rumah (komputer, alat permainan video yang wayarnya disambung ke TV) meningkatkan risiko dipanah petir.

Tiada tempat di kawasan luar rumah yang selamat dari panahan petir.

Apakah bentuk bantuan kecemasan yang perlu dilakukan untuk mangsa?

1. Jika ingin membantu, pastikan anda tidak berada dalam keadaan yang berbahaya.

2. Alihkan mangsa dari kawasan bahaya.

3. Jika mangsa tidak bernafas, tentukan sama ada mangsa masih mempunyai nadi. Jika tiada nadi, cuba berikan pertolongan CPR (resusitasi jantung dan paru-paru), sekiranya anda tahu.

Jika anda tidak tahu CPR, segera dapatkan pertolongan orang yang tahu dan pada masa yang sama dapatkan orang untuk memanggil ambulans ataupun bawa sendiri mangsa ke pusat perubatan atau hospital.

4. Mangsa perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lebih rapi untuk menentukan tahap kecederaan.

Rawatan di hospital

1. Doktor akan pastikan tahap kecederaan.

2. Mangsa akan menjalani pemeriksaan darah, imbasan sinar-X dada, leher dan tengkorak jika perlu.

3. Ujian EKG (jantung).

4. Mangsa mungkin perlukan CT scan otak dan abdomen untuk pastikan tahap kecederaan.

5. Rawatan khusus akan diberikan mengikut kecederaan yang mangsa alami.

Komplikasi

Disebabkan kecederaan panahan petir boleh mengakibatkan komplikasi tertunda, mangsa perlu mendapatkan rawatan susulan untuk mengelakkan:

* sawan,

* kerosakan otak

* kelumpuhan (paralysis)

* kerosakan mata (katarak)

* kerosakan telinga (hilang pendengaran)

* kesakitan saraf yang kronik

Pencegahan

1. Semasa waktu petir, elakkan daripada berada di kawasan luar atau kawasan terbuka. Bila kedengaran bunyi guruh, bermakna kita berada di dalam lingkungan kawasan panahan petir. Petir boleh bergerak antara 10 hingga 12 batu ke hadapan sebelum ribut sampai walaupun langit masih cerah.

2. Semasa ribut petir jangan berlindung di kawasan tinggi dan bawah objek yang tinggi seperti pokok atau pondok di atas bukit.

3. Jangan memegang atau membawa objek besi semasa ribut petir seperti payung, kayu golf, alat pancing ikan atau basikal. Jangan pakai topi keledar besi seperti topi keledar bola lisut.

4. Jika tiada tempat berlindung duduk mencangkung dan tutup telinga dengan tangan. Jika berkumpulan, pastikan jarak antara kita adalah 15 kaki dan semua duduk mencangkung.

5. Anda boleh berlindung dalam kenderaan seperti kereta, bas dan lori tetapi jangan sentuh bahagian besi kenderaan. Kenderaan golf (buggy) tidak selamat untuk perlindungan daripada panahan petir.

6. Jika dalam bangunan seperti rumah atau pejabat, tutup dan jauhi dari tingkap. Jangan mengguna telefon talian tetap atau alat elektrik, seperti komputer, melainkan jika ada alat pemisah petir (lightning arresster). Jangan menggunakan paip air kerana arus petir boleh menjalar melalui paip dan wayar dari luar ke dalam bangunan walaupun bila petir terkena di luar bangunan.

7. Tunggu selama 30 minit selepas petir yang terakhir sebelum keluar semula.

8. Petir lazimnya memanah di tempat yang sama sebanyak dua kali.

Anda dinasihatkan menghentikan semua aktiviti luar apabila mendengar guruh di langit. Jangan tunggu berlakunya panahan petir baru mahu tergesa-gesa lari mendapatkan perlindungan. Kebanyakan kecederaan boleh berlaku semasa ribut belum bermula.

Peningkatan jumlah mangsa panahan petir mungkin berlaku disebabkan perubahan iklim dunia akibat pencemaran dan pemanasan global.

Oleh itu, orang ramai perlu belajar menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dunia dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan ancaman bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan panahan kilat.

Nukleus: Hipokondria

HIPOKONDRIA merupakan satu istilah perubatan kuno untuk perasaan sugul dan rasa khuatir seseorang individu yang merasakan dirinya menghidap sesuatu penyakit sedangkan mereka sihat sepenuhnya.

Masalah ini biasa dilihat pada pelajar perubatan baru yang khuatir diri mereka mempunyai sesuatu penyakit teruk yang baru dipelajari dalam kelas.

Golongan yang menghidap hipokondria biasanya tidak dapat menerima hasil pemeeriksaan yang menunjukkan mereka sihat sepenuhnya dan percaya doktor menipu mereka atau tersalah membuat diagnosis.

Kadangkala, golongan dengan masalah ini akan mempercayai kata-kata doktor hanya untuk seketika sebelum kembali merasakan diri mereka mempunyai simptom atau menghidap penyakit tertentu.

Minggun Malaysia: 27 April 2008

Rencana dari Mingguan Malaysia: 27 April 2008

Oleh NURUL ANUAR KARI

SEJAUH mana anda tahu mengenai bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus?

Bakteria ini menyebabkan penyakit pneumokokal yang merangkumi otitis media (jangkitan telinga), pneumonia (radang paru-paru), bakteremia (kuman dalam darah) dan meningitis (radang selaput otak) di kalangan kanak-kanak dan warga emas. Istilah penyakit pneumokokal (PnD) juga mungkin tidak begitu menakutkan bagi ibu bapa berbanding tetanus, hepatitis, polio, atau demam campak.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa jangkitan bakteria ini merupakan punca utama kematian kanak-kanak, sama ada di bawah umur lima tahun dan juga yang melebihi umur lima tahun. Perangkaan punca kematian kanak-kanak akibat penyakit yang boleh dielakkan melalui vaksinasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 menunjukkan 1.61 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat PnD.

Dari jumlah itu, 716,000 kanak-kanak yang meninggal dunia berumur lima tahun ke bawah sementara 896,000 lagi berumur lima tahun ke atas. Jumlah kematian kini juga dianggarkan mencecah satu juta setiap tahun di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah. Ini bermakna kira-kira 112 orang kanak-kanak akan menemui ajal akibat PnD setiap jam atau 2,700 kematian setiap hari di seluruh dunia.

* Ancaman

Pakar Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Pusat Perubatan Selangor, Datuk Dr. Zulkifli Ismail menjelaskan, kumpulan paling berisiko mendapat PnD adalah bayi di bawah umur 24 bulan terutamanya kerana PnD sukar dikesan di kalangan bayi.

“Dianggarkan kira-kira 60 peratus kanak-kanak tadika dan prasekolah juga menjadi pembawa bakteria pneumokokus yang boleh disebarkan kepada kanak-kanak lain dalam pergaulan harian di tadika atau taman asuhan.

“PnD juga boleh menjadi teruk dengan pantas dan kelewatan dalam mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak atau organ utama lain,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa mereka yang mempunyai sistem imuniti lemah seperti pesakit talasemia, anemia sel sabit atau dijangkiti HIV juga mempunyai risiko lebih tinggi menghidap PnD.

Dr. Zulkifli memaklumkan bahawa jangkitan pneumokokus mungkin berlaku sebagai jangkitan sekunder (kedua) selepas jangkitan virus.

“Bakteria ini boleh masuk melalui salur pernafasan dan seterusnya menyebabkan jangkitan di beberapa bahagian badan termasuk telinga, darah, paru-paru dan otak.

“Ini boleh menyebabkan jangkitan teruk (invasif) seperti meningitis, bakteremia atau pneumonia atau hanya jangkitan ringan seperti sinusitis dan otitis media,” jelasnya.

Menurutnya lagi, otitis media (jangkitan telinga) paling banyak berlaku di kalangan pesakit tetapi paling kurang berbahaya sementara meningitis yang jarang berlaku adalah amat berbahaya dan boleh membawa maut.

* Setempat

Pakar Runding Pediatrik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan, Dr. Mohd. Suhaimi Ab. Wahab menyatakan tidak banyak maklumat mengenai bilangan kes PnD di Malaysia kerana penyakit ini tidak tergolong dalam jenis penyakit perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan.

“Ujian mikrobiologi cuma dilakukan dalam sebilangan kecil kes PnD sementara amalan pengambilan cecair tulang belakang (CSF) untuk diuji dalam kes meningitis juga amat rendah.

“Namun, kajian tempatan dari 1995 hingga 1996 berjaya merekodkan 273 kes jangkitan pneumokokus dari enam hospital, dengan 31.1 peratus daripada pesakit yang dijangkiti berusia di bawah umur 10 tahun,” katanya.

Menurut beliau, 10 peratus (2.7 juta) daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia berumur lima tahun dan mengikut perangkaan kasar, mungkin terdapat lebih daripada 200 kes meningitis pneumokokal atau 20,000 kes pneumonia pneumokokal di kalangan kanak-kanak berlaku setiap tahun di negara ini.

Dalam satu kajian di Sabah, 70.3 peratus kes meningitis yang disahkan berpunca daripada jangkitan pneumokokus dicatatkan berlaku kepada bayi yang berumur 36 bulan ke bawah, dengan bayi seawal usia dua bulan juga dijangkiti bakteria tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Suhaimi juga membangkitkan isu peningkatan rintangan antibiotik oleh bakteria pneumokokus hasil beberapa kajian sejak 1984 lagi.

“Kajian dari 1984 hingga 1985 menunjukkan hanya empat peratus kes rintangan pneumokokus terhadap antibiotik penisilin.

“Satu lagi kajian dari 1996 hingga 1997 menunjukkan peratusan ini meningkat kepada 10 peratus sementara kajian berasingan dari 1999 hingga 2004 menunjukkan rintangan terhadap penisilin telah meningkat kepada 62 peratus,” jelasnya.

Beliau mengaitkan peningkatan rintangan pneumokokus terhadap penisilin ini akibat pemberian antibiotik secara berleluasa dan tidak mengikut arahan pengambilan antibiotik.

Pengetahuan mengenai PnD di Malaysia secara umumnya masih rendah dengan Tinjauan Kesedaran Penyakit Pneumokokal Global 2006 hanya menunjukkan 31 peratus ibu bapa di negara ini mengetahui mengenai penyakit tersebut.

Tinjauan itu turut mendapati hanya 38 peratus ibu bapa di Malaysia mengetahui adanya vaksin untuk PnD tetapi peratusan ini dijangka telah meningkat hasil pendedahan melalui media.

* Vaksin

Vaksin berkonjugat pneumokokus tiba ke pasaran negara ini pada bulan Oktober 2005 tetapi telah digunakan di Amerika Syarikat sejak tahun 2000 lagi. WHO menamakan penyakit pneumokokal sebagai punca nombor satu kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyarankan vaksin berkonjugat pneumokokus perlu diberi keutamaan untuk dimasukkan ke dalam program imunisasi kanak-kanak.

Dr. Zulkifli menjelaskan, setiap kanak-kanak akan memerlukan tiga atau empat dos vaksin, mengikut pendapat doktor dan umur anak, bagi mendapat perlindungan seumur hidup daripada PnD.

“Vaksin ini belum dimasukkan dalam jadual imunisasi wajib kebangsaan tetapi sepatutnya terdapat di setiap hospital swasta dan sesetengah klinik.

“Namun para doktor perlu memaklumkan kepada ibu bapa tentang penyakit dan vaksin ini memandangkan masih ramai yang tidak tahu mengenainya,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa untuk bertanya kepada doktor tentang penyakit dan vaksin tersebut bagi melindungi bayi yang baru lahir.

Tambah beliau, pengambilan vaksin ini juga dapat memberikan imuniti berkelompok iaitu perlindungan kepada individu lain yang tidak menerima vaksin dengan menyekat penyebaran bakteria pneumokokus dalam pergaulan harian.

“Janganlah kita menghukum mereka yang memilih untuk tidak mengambil vaksin ini.

“Bagaimanapun, semua pihak, tidak kira doktor atau ibu bapa, diminta jangan memikirkan PnD dari segi peratusan sahaja kerana ianya bukan lagi peratusan jika anak anda sendiri yang menjadi mangsa,” tegas Dr. Zulkifli.

Tulang Sihat Untuk Hari Tua

Rencana dari Mingguan Malaysia: 10 Januari 2010

TIDAK kira betapa sihatnya anda, anda akan mula kehilangan jisim tulang setelah mencapai umur 30 tahun. Tulang adalah tisu hidup yang sentiasa terhapus dan terbina dengan sendirinya.

Pembinaan semula ini adalah proses sepanjang hayat dan proses ini memastikan tulang diperbaiki dari kesan aktiviti harian manusia.

Selepas umur 30 tahun, tulang kita mula terhapus lebih pantas dari ia terbina. Bagi wanita, proses penyerapan tulang ini menjadi lebih cepat selepas menopaus akibat kehilangan estrogen. Jisim tulang rendah yang disertai dengan peningkatan kadar penyerapan akan mendedahkan anda kepada risiko osteoporosis yang lebih tinggi.

Osteoporosis adalah penyakit tulang menjadi kurang padat dan lebih mudah patah atau retak. Biasanya anda hanya mengetahui tentang osteoporosis apabila tulang anda patah atau retak dan ketika itu, ia sudah terlambat. Cara terbaik untuk melawan osteoporosis adalah dengan mencegahnya dari awal dengan membina dan mengekalkan tulang kuat melalui pemakanan yang sihat dan senaman yang mencukupi, begitu juga dengan mencapai tahap paling hampir dengan jisim tulang maksimum. Jisim tulang maksimum biasanya dicapai sekitar umur 30 tahun.

l Bank tulang

Masih belum terlambat untuk menyelamatkan masa depan anda walaupun anda sudah melebihi usia 30 tahun. Anggap tulang anda seperti akaun bank dan kalsium sebagai ‘duit’ yang disimpan di dalamnya. Tulang anda menyerap kalsium paling banyak sebelum umur 18 tahun dan inilah masanya akaun bank tulang anda akan mengumpulkan simpanan terbanyak. Lagi banyak anda simpan, lagi banyak anda akan ada apabila semakin tua.

Tetapi setelah melebihi 30 tahun dan bank tulang anda semakin kurang simpanannya, anda mungkin tertanya-tanya apa yang boleh dilakukan untuk membantu tulang anda. Prinsip paling mudah adalah dengan memastikan simpanan kalsium mencukupi. Jika anda memastikan tulang anda mendapat kalsium yang mencukupi untuk memenuhi saranan pengambilan harian, badan anda tidak akan mengambil kalsium dari tulang.

Anda mungkin fikir penambahan pengambilan kalsium adalah sukar, terutamanya jika anda tidak biasa mengambil susu sepanjang hidup anda. Tetapi, kalsium boleh datang dari pelbagai sumber selain susu atau produk tenusu lain seperti keju dan yogurt.

Makanan yang diperbuat daripada soya juga boleh memberikan banyak kalsium. Sekeping taufu atau semangkuk taufu fah akan memberikan anda 150 gram dari pengambilan harian kalsium. Dapatkan lebih soya dalam pemakanan anda dengan mencampurkan tempe dalam sayur goreng dan ambil susu soya dengan bijirin sarapan.

Tidak banyak yang tahu bahawa sayuran berdaun berwarna hijau tua dan ikan bertulang lembut yang boleh dimakan adalah sumber baik bagi kalsium. Jadi, pilihlah kai lan, pak choy dan sai yong choy apabila merancang menu anda dan masukkan ikan bilis dalam masakan anda. Sardin dalam tin boleh dimakan tulangnya, jadi makanlah sandwich sardin bila terasa lapar.

Badan anda akan menggunakan kalsium yang diperolehi dari pemakanan harian dan tidak akan mengambil kalsium dari tulang. Seperti akaun simpanan bank, lebih sedikit yang dikeluarkan dari simpanan, lebih banyak anda akan ada di masa hadapan. Jadi, jika anda sudah melepasi waktu yang terbaik untuk menyimpan bagi tulang anda, anda masih boleh melindungi simpanan semasa dengan mengelakkan dari menggunakannya sebaik mungkin.

l Wanita dan osteoporosis

Satu daripada empat wanita melebihi umur 50 tahun akan menghidap osteoporosis dan satu daripada tiga wanita melebihi usia 50 tahun akan mendapat keretakan berpunca dari osteoporosis dalam hayat mereka. Di Malaysia sahaja, lebih satu juta orang dianggarkan mempunyai risiko osteoporosis.

Selain penuaan, osteoporosis juga banyak terjadi kepada wanita selepas menopaus. Wanita biasanya dilindungi dari osteoporosis kerana penghasilan hormon estrogen. Walaubagaimanapun, penghasilan estrogen berkurangan selepas menopaus dan ini seterusnya meningkatkan risiko osteoporosis terutamanya di awal menopaus.

Apabila kadar estrogen berkurangan dalam tubuh, tulang anda akan terhapus lebih pantas dari terbina. Penyerapan tulang ini lebih cepat selepas menopaus sebelum kembali perlahan selepas beberapa tahun. Faktor-faktor lain selain menopaus juga boleh menghentikan penghasilan estrogen seperti bilateral oophorectomy (pembedahan membuang kedua-dua ovari) dan haid yang tidak menentu disebabkan masalah pemakanan atau senaman berlebihan.

Cuba kurangkan sebaik mungkin kerosakan ini dengan memenuhi cadangan pengambilan kalsium harian bagi wanita Malaysia iaitu 1000 miligram bagi wanita melebihi umur 50 tahun. Dapatkan vitamin D yang banyak juga kerana ia membantu penyerapan kalsium. Badan anda akan menghasilkannya sendiri selepas terdedah kepada cahaya matahari jadi luangkanlah 15 hingga 20 minit di bawah cahaya matahari setiap hari untuk mendapat vitamin D yang mencukupi.

Bersenam dengan kerap tetapi selamat. Jika anda berisiko atau sudah pun menghidap osteoporosis, dapatkan nasihat pakar perubatan tentang jenis senaman yang paling sesuai untuk anda. Jangan mulakan rutin senaman sebelum mendapatkan nasihat yang betul untuk mengelakkan kecederaan.

Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil hidangan yang seimbang, mengekalkan berat badan yang sihat dan menjauhi tabiat merokok, dan mengambil alkohol dan kafein secara berlebihan. Elakkan risiko jatuh di rumah dengan membuat perubahan pada pencahayaan, struktur dan lantai rumah anda. Suis-suis lampu perlu berada di kawasan yang mudah dicapai, terutamanya jika anda menggunakan kerusi roda atau alat bantuan berjalan.

Pastikan setiap bilik mempunyai pencahayaan yang baik dan tiada sudut gelap untuk menyembungikan bahaya yang tidak dijangka. Pasang pemegang pada anak tangga dan pastikan tangga tersebut tidak terlalu tinggi atau sempit. Luaskan pintu anda supaya muat untuk kerusi roda atau alat bantuan berjalan dan elakkan dari menggunakan karpet yang tebal dan lantai yang licin. Gunakan juga lantai yang boleh mengelakkan anda dari tergelincir di bilik air.

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.